KAJANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mepergiatkan operasi bagi melumpuhkan sindiket dadah antarabangsa yang didalangi warga Asia Timur dengan merampas dadah seberat 6.2 tan bernilai RM1.04 bilion menerusi serbuan Op Gaharu 2.0 di sekitar Selangor pada 21 Disember lalu.
Serbuan tersebut dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman ekoran penahanan enam suspek termasuk tiga wanita menerusi Op Gaharu 1.0 pada 16 Disember lalu.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan pertama dijalankan di sekitar Taman Industri Selasa Jaya, Seri Kembangan di sini dengan merampas cecair disyaki dadah Methylenedioxy Methamphetamine (MDMA) seberat 5,983.36 kilogram (kg) dan serbuk putih disyaki dadah jenis MDMA seberat 207.74 kg.
Katanya, ia membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah premis di Taman Perindustrian Kepong dekat sini dan merampas serbuk disyaki dadah kokain seberat 20.273 kg dan sebuk putih disyaki dadah ketamin iaitu 1.252 kg.
“Rampasan keseluruhan dianggarkan seberat 6,212 kg bernilai RM1.04 bilion dan jumlah dadah dirampas mampu merosakkan seramai 20.7 juta pengguna.
“Siasatan mendapati sindiket ini yang didalangi warga dari negara Asia Timur yang turut membawa masuk ahli kimia dan bahan prekusor dari luar serta menggunakan koordinator dan ahli sindiket warga tempatan bagi memproses dadah.
“Siasatan lanjut juga mendapati sindiket ini menyewa sebanyak 14 premis antaranya termasuk empat kilang dengan kadar sewaan RM6,000 hingga RM10,000 sebulan untuk memproses dan menyimpan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Semenyih di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut sindiket dipercayai menggunakan Malaysia sebagai pusat memproses dadah sebelum mengedarkannya ke beberapa destinasi luar negara termasuk Hong Kong dan Australia.
“Kita akan mendapatkan kerjasama pihak berkuasa negara berkaitan serta Polis Antarabangsa (Interpol) bagi menjejaki dan menahan baki ahli sindiket termasuk dalang utama.
“Polis percaya sindiket ini mempunyai lebih 12 ahli termasuk dalang dan telah beroperasi sejak Januari lalu dan kini sedang mengesan saki-baki ahli,” katanya.
Hussein berkata, pihaknya percaya berjaya melumpuhkan sindiket berkenaan menerusi dua pada 16 dan 21 Disember lalu dengan rampasan keseluruhan sebanyak 24.7 tan dadah bernilai kira-kira RM2.6 bilion.
“Ini boleh dikatakan sindiket terbesar yang pernah kita tumpaskan. Malah sindiket ini turut menjalankan pusat panggilan untuk kegiatan penipuan dalam talian yang kita serbu di Kajang pada Ahad lalu. – UTUSAN










