Nourul Depp buang rahim kerana kanser - Utusan Malaysia

Nourul Depp buang rahim kerana kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nourul Depp, 48, mendedahkan terpaksa melakukan pembedahan membuang rahim dan ovari sekitar lima tahun lalu selepas disahkan menghidap kanser di bahagian itu pada 2018.

Nourul atau Noorulhuda Abdul Wahab yang tidak berkongsi perkara itu dengan ramai orang memaklumkan dia bersyukur kerana melakukan pembedahan tersebut lebih awal.

“Bila disahkan menghidap kanser, doktor mencadangkan saya, selama enam bulan mengambil suntikan vaksin HPV (virus papilloma manusia) yang lazimnya diberikan kepada wanita yang bermasalah di bahagian rahim.

“Tetapi, selepas tempoh itu, kanser tersebut kembali menyerang sekaligus bertukar ke tahap satu. Proses itu berlaku sehingga saya memgandungkan Isabella (anak keempat). Jika makin teruk, saya takkan mengandung.

“Doktor sarankan saya melakukan pemeriksaan kedua dan keputusannya memang kanser. Oleh itu Saya memutuskan untuk lakukan pembedahan untuk buang rahim dan ovari,” katanya pada sidang media Konsert For You: Nourul, di sini, semalam.

Ibu empat cahaya mata itu juga bersyukur kerana mengesan kanser itu lebih awal.

“Itu sebabnya saya lakukan pemeriksaan kesihatan setiap tahun. Alhamdulillah sekarang saya bebas kanser tanpa melakukan kimoterapi,” katanya.

Nourul dalam masa sama tidak menolak tekanan melampau yang dihadapi selepas ditipu sebuah syarikat tempatan pada 2018 menjadi antara punca kepada kanser penyakit berkenaan.

“Syarikat itu kononnya sedia melaburkan RM80,000 untuk menaja album berbahasa Perancis saya. Tapi saya kena keluar dahulu duit sendiri untuk menghasilkan album itu.

“Saya tak sangka yang saya akan ditipu syarikat itu. Mereka lesap dan sampai ke hari ini saya tak terima pun RM80,000 itu. Itu memang antara dugaan hidup paling besar buat saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nourul bakal tampil dengan konsert solo selepas lebih tiga dekad bergelar penyanyi.

Konsert For You: Nourul anjuran Rong Geng Entertainment itu bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 17 April tahun depan. Tiket mula dijual sejak semalam menerusi laman web ticket2u.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN