Najib akan failkan rayuan

Najib akan failkan rayuan

MUHAMMAD Shafee Abdullah pada sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memfailkan rayuan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Titah Adendum membenarkan beliau menjalani tahanan di rumah sebagai tidak sah.

Peguam utama beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, langkah itu akan diambil segera kerana keputusan berkenaan melibatkan isu Perlembagaan yang besar serta menyentuh kedudukan kuasa pengampunan Raja-Raja Me­layu.

“Kami amat kecewa de­ngan keputusan hari ini dan akan membawa perkara ini ke Mahkamah Rayuan, dan jika perlu, ke Mahkamah Persekutuan,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, semalam.

Mahkamah Tinggi sebelum itu memutuskan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah adalah tidak sah.

Hakim Alice Loke Yee Chi­ng memutuskan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membuat keputusan pengampunan secara bersendirian dan pelaksanaan prerogatif pengampunan mesti dibuat melalui Mesyuarat Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Muhammad Shafee berkata, keputusan Mahkamah Tinggi itu secara langsung telah mencairkan kuasa prerogatif pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri.

Menurut beliau, dalam amalan Perlembagaan selama ini, Yang di-Pertuan Agong hanya perlu mendapatkan panda­ngan Lembaga Pengampunan, namun keputusan muktamad tetap berada di tangan baginda dan tidak semestinya dibuat atau diumumkan dalam mesyuarat lembaga berkenaan.

“Keputusan hari ini mele­takkan seolah-olah kuasa Ketua Pengarah Penjara lebih tinggi daripada kuasa Yang di-Pertuan Agong, sedangkan Perkara 42 Perlembagaan jelas memperuntukkan kuasa pengampunan berada pada baginda,” katanya.

Beliau berkata, pencairan kuasa tersebut bukan sahaja bercanggah dengan amalan Perlembagaan, malah memberi implikasi besar terhadap kedudukan institusi Raja-Raja Melayu dalam sistem perunda­ngan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN