PUTRAJAYA: Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh menunjukkan satu sisi yang sangat berbeza apabila dilihat sangat santai, bergelak ketawa malah kelihatan teruja apabila meluangkan masa bersama pengamal media sempena 100 hari pelantikannya sebagai Ketua Hakim Negara.
Malah, Wan Ahmad Farid turut mengajak pemberita melawat pejabat sehingga ke ruang makan peribadinya yang terletak di tingkat lima Istana Kehakiman selepas selesai menikmati jamuan ringan.
Menurut pegawainya, lawatan tersebut sehingga ke ruang makan itu tidak pernah dilakukan atau diberikan kepada mana-mana individu termasuk hakim-hakim lain di Istana Kehakiman.
Pada sesi lawatan itu juga, Wan Ahmad Farid turut memaklumkan bahawa kuih kegemarannya adalah tat nenas dan turut menunjukkan botol air (tumbler) yang merupakan hadiah hari jadi daripada anak beliau.
“Ini anak saya beri, hadiah hari jadi, tumbler Lululemon,” jelasnya sambil menunjukkan ukiran namanya di botol tersebut.
Suasana kemudian bertukar gamat apabila para wartawan meminta beliau melakukan pelbagai aksi termasuk bergambar bersama naskhah akhbar yang terletak di atas mejanya.
“Media saja yang boleh arah saya macam-macam. PM (Perdana Menteri) pun tidak boleh arahkan saya,” selorohnya.
Tidak ubah seperti pemandu pelancong, Wan Ahmad Farid turut berkongsi pemandangan pejabatnya yang berhadapan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3, juga dikenali sebagai Masjid Besi.
Ujarnya, ketika membuat menulis penghakiman atau membuat sebarang keputusan, beliau akan memandang ke arah masjid tersebut bagi memastikan hati nuraninya berada di landasan yang benar.
Selain itu, Wan Ahmad Farid memberi jaminan bahawa wartawan terutamanya wartawan mahkamah tidak akan dihalang membuat liputan di mahkamah.
Jaminan itu diberikan selepas terdapat aduan daripada wartawan yang telah dihalang untuk membuat liputan kes disebabkan masalah komunikasi.
“Awak (media) adalah penting, awak adalah estet keempat (the fourth estate). Petugas media tidak sepatutnya dihalang membuat liputan mahkamah, kecuali jika mahkamah penuh atau prosiding membabitkan individu bawah umur. Mahkamah adalah terbuka kepada semua.
“Saya akan teliti dan tangani perkara ini,” katanya.
Beliau juga sempat memberikan arahan kepada pegawainya untuk mengingatkan para hakim untuk memberikan ringkasan penghakiman kepada wartawan selepas prosiding selesai.
“Tak perlu berkajang-kajang. Ringkasan sehelai dua dah cukup. Kita tidak mahu hakim cakap lain, media lapor lain,” katanya.
Terdahulu, ketika diminta untuk menilai prestasinya untuk tempoh 130 hari memegang jawatan sebagai Keua Hakim Negara, Wan Ahmad Farid berkata, seorang hakim tidak seharusnya menilai dirinya sendiri.
Sebaliknya, yang akan menilai dirinya ialah masyarakat awam. – UTUSAN










