Media bentuk pemikiran masyarakat, sebar dakwah

Media bentuk pemikiran masyarakat, sebar dakwah

ZULKIFLI Hasan ketika berucap pada Majlis Bersama Media dan Penyampaian Hadiah Layar Dakwah Yadim di The Pearl Kuala Lumpur Hotel di sini, hari ini. UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Media memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran masyarakat melalui penyampaian maklumat tepat sekali gus membina masyarakat yang beradab.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, naratif yang dibentuk media memberi kesan langsung terhadap persepsi masyarakat, seterusnya mempengaruhi tindakan dan hala tuju masyarakat.

Katanya, setiap laporan berita yang adil, seimbang serta perkongsian membina juga menjadi sebahagian daripada usaha dakwah dalam membentuk kefahaman masyarakat.

“Walaupun media tidak menggunakan gelaran ‘pendakwah’, peranan dan tanggungjawab mereka dalam menyampaikan maklumat yang telus menjadikan media barisan hadapan dakwah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis bersama Media Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), di sini hari ini.

Zulkifli berkata, dalam Islam, menyampaikan kebenaran dengan adab merupakan satu amanah dan media telah memainkan fungsi tersebut.

“Jika dakwah bertujuan menginspirasikan manusia ke arah kebaikan, maka rakan-rakan media telah bersama-sama Yadim dalam perjalanan ini sejak sekian lama.

“Tanpa liputan media, banyak mesej dakwah yang berinspirasi tidak akan sampai kepada masyarakat,” katanya.

Mengulas penganjuran TikTok Dakwah Challenge, Zulkifli berkata, inisiatif tersebut selari dengan perkembangan semasa apabila TikTok menjadi fenomena besar dalam kalangan masyarakat.

“Perkembangan itu membuktikan dakwah kini telah melangkah ke satu dimensi baharu melalui media sosial dan teknologi, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada generasi muda untuk terlibat secara aktif,” katanya.

Tambah beliau, peranan media penting dalam membangkitkan kesedaran global termasuk dalam melaporkan kekejaman dan jenayah kemanusiaan di Gaza.

“Dalam konteks Malaysia, media berperanan besar dalam memastikan masyarakat menerima maklumat yang tepat dan bertanggungjawab.

‘Selain memupuk pemikiran rakyat ke arah pembentukan bersatu padu dan selari dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN