PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad terus mengukuhkan kehadirannya di Johor dengan merasmikan pembukaan cawangan baharu di Bandar Indahpura, sekali gus menawarkan pengalaman perbankan lebih moden dan selesa kepada pelanggan di daerah ini.
Cawangan baharu yang terletak di Jalan Kiambang 10 itu menggantikan premis lama di Bandar Putra, dengan kemudahan lebih luas, efisien dan mesra pelanggan.
Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Bor Yang, bersama barisan pengurusan kanan MBSB Bank serta jemputan.
Menurut bank itu, pemindahan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MBSB Bank memodenkan rangkaian cawangannya serta memastikan akses kepada penyelesaian kewangan patuh Syariah yang memenuhi keperluan komuniti Kulai yang semakin berkembang.
“Bersempena pembukaan tersebut, MBSB Bank menawarkan promosi istimewa termasuk pakej Unit Trust (UT) dan Term Deposit-i (TD-i) dengan pulangan sehingga 6.88 peratus setahun bagi tempoh tiga bulan, selain kadar 3.85 peratus setahun bagi TD-i untuk tempoh 12 bulan,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Berhad, Rafe Haneef berkata, pembukaan cawangan baharu itu menzahirkan komitmen bank untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada penduduk Kulai.
“Ia melambangkan janji kami untuk menawarkan penyelesaian kewangan yang lebih pintar, mudah dan diperibadikan. Sama ada individu atau PKS, kami mahu menyokong perjalanan kewangan mereka dan membantu mereka bergerak yakin ke arah matlamat,” katanya.
Tambah beliau, pertumbuhan Johor sebagai hab ekonomi serantau turut membuka ruang baharu untuk bank itu memperkukuh penyelesaian kewangan yang memberi nilai kepada komuniti.
“Dari segi perbankan individu, MBSB Bank terus memperluaskan penawaran produk termasuk Global Easy Transfer bersama Wise untuk pemindahan wang antarabangsa PrimeGold-i, platform pelaburan emas digital WorksForMe, penyelesaian gaji dengan manfaat eksklusif pelanggan gaji serta pelbagai pilihan pelaburan Unit Trust bagi membantu perancangan kewangan jangka panjang.
“Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bank itu menawarkan pelbagai perkhidmatan digital seperti pembukaan akaun secara dalam talian, kadar deposit menarik serta Retailer Dashboard yang menyediakan data masa nyata untuk membantu pemilik perniagaan mengurus operasi dengan lebih cekap,” tambahnya.
MBSB Bank turut komited menyediakan pembiayaan hijau untuk menggalakkan PKS di Johor melabur dalam teknologi cekap tenaga, seiring peningkatan pelaburan domestik dan asing di negeri itu.
Bank tersebut juga baru-baru ini memperkenalkan Navigator Global, platform perdagangan global dibangunkan bersama Kumpulan Santander, yang ditawarkan secara percuma kepada semua pelanggan PKS MBSB.
Platform bernilai RM1,800 itu menyediakan pelan eksport, pandangan pasaran masa nyata, akses kepada rakan dagang global bertauliah dan panduan peraturan bagi membantu PKS menembusi pasaran antarabangsa.
Menurut bank tersebut, pembukaan cawangan baharu ini bukan sekadar pelancaran fasiliti baharu tetapi mencerminkan komitmen jangka panjang MBSB Bank kepada masyarakat Kulai.
Bank tersebut turut merakamkan penghargaan kepada pasukan yang terlibat dalam pemindahan serta pelanggan setia atas sokongan berterusan.
MBSB Bank optimis hubungan dengan komuniti setempat akan terus diperkukuh dan bank itu kekal sebagai rakan kewangan dipercayai untuk tahun-tahun mendatang. –UTUSAN










