BAGAIMANAKAH Bank Negara (BNM) boleh menggelar dirinya bebas dan pengawal selia bank apabila ia sendiri menjadi rakan niaga dengan institusi kewangan yang sepatutnya dipantau.
BNM adalah pemegang saham terbesar Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dengan pegangan 26,895, 534 saham iaitu bersamaan 35.5 peratus dalam syarikat yang ditubuhkan untuk mewujudkan dan menguruskan rangkaian bayaran kebangsaan Malaysia.
Sudah cukup teruk apabila bank pusat yang berkewajipan berkhidmat untuk umum secara percuma memasuki perjanjian komersial yang memaksa rakyat membuat bayaran.
Dalam kes BNM, keadaannya lebih teruk lagi: Ia bersekutu dengan 11 bank untuk mengenakan levi RM1 terhadap rakyat Malaysia yang mengeluarkan wang daripada ATM yang bukan bank mereka.
Sebagai badan pengawal selia, tugas BNM adalah untuk mengawal selia dan memantau institusi kewangan. Ia adalah pihak berkuasa yang bertanggungjawab memastikan sistem pembayaran selamat, efisien dan boleh dipercayai di Malaysia.
Sebagai penjaga kebajikan kewangan negara, BNM telah lalai memastikan sistem pembayaran di negara ini dilaksanakan dengan berwibawa dan mengikut kepentingan awam.
Ia diberi kuasa untuk melakukan pemeriksaan terhadap rangkaian seperti itu, dan bertindak terhadap mereka apabila melanggar direktif serta peraturan dikeluarkan.
Dengan mempunyai pegangan dalam PayNet dan berniaga secara aktif dengan bank komersial di situ, BNM meletakkan dirinya di tengah-tengah keadaan konflik apabila perlu mengimbangi kepentingan awam dengan kepentingan komersialnya dalam PayNet.
Soalan NUBE kepada BNM adalah: Bagaimana anda akan “menjadi polis” yang mengawal PayNet apabila anda sebahagian daripadanya?
Ia membantutkan peraturannya sebagai pengawal selia apabila bersekongkol dengan bank sama yang sepatutnya dipantaunya. – UTUSAN
J. SOLOMON
Setiausaha NUBE










