Mayat ditanam belakang rumah: Mangsa selalu bantu rakan sekampung

Mayat ditanam belakang rumah: Mangsa selalu bantu rakan sekampung

RAKAN-rakan mangsa ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Rembau hari ini.-UTUSAN / NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Unit Forensik Hospital Rembau di sini mula dihadiri individu dipercayai keluarga dan rakan-rakan kepada mangsa seorang wanita yang mayatnya ditemui ditanam dibelakang sebuah rumah di sini semalam.

Masing-masing yang hadir kelihatan sugul dan sebak sementara menunggu urusan pengecaman selain proses bedah siasat mayat itu selesai.

Seorang rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Jue, 53, berkata, mereka membesar bersama di kampung halaman di Kuching, Sarawak sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.

Katanya, mangsa dikenali sebagai seorang individu yang sangat mengambil berat terhadap rakan-rakan, khususnya mereka yang merantau jauh ke ibu kota malah sering menjadi tempat bergantung apabila berdepan masalah.

“Kalau kawan ada masalah, dia antara orang yang paling awal tampil membantu. Sebab itu ramai yang sayang dan selesa berkawan dengan dia,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, kali terakhir dia berhubung dengan mangsa adalah pada bulan lalu hanya menerusi panggilan telefon sahaja.

Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang wanita di dalam sebuah beg yang ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Jalan Pedas-Linggi, Rembau, semalam.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan di Melaka pada petang semalam.

“Permohonan reman terhadap lelaki berkenaan telah dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibenarkan selama tujuh hari bermula semalam hingga 25 Disember depan.

“Bedah siasat sedang dijalankan hari ini di Hospital Rembau bagi mengenal pasti identiti mangsa serta punca kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN