PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) merekod jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM295.7 juta menerusi penyertaan dalam Vietnam Expo ke-23 di Ho Chi Minh City, Vietnam.
Jualan positif itu dipacu oleh pelbagai padanan perniagaan yang terhasil daripada mesyuarat perniagaan, pembentangan produk serta sesi jaringan antara peserta pameran tempatan dan bakal pembeli Vietnam.
Menurut MATRADE, beberapa peserta pameran Malaysia melaporkan prospek kukuh bagi pengedaran, perkongsian Pengeluar Peralatan Asal (OEM) serta pelan pengembangan pasaran.
“Sambutan positif daripada pembeli Vietnam mencerminkan permintaan pengguna yang kukuh terhadap penyelesaian gaya hidup yang inovatif, mampu milik dan mesra alam.
“Penyertaan Malaysia turut menyokong matlamat Pelan Induk Perdagangan Nasional (NTBp) serta Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, khususnya dalam mempromosikan kepelbagaian eksport, meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta memperkukuh integrasi ekonomi serantau,” katanya dalam kenyataan.
Inisiatif tersebut merupakan usaha membangun serta memperkasa usahawan halal dalam kalangan PKS di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Program Pembangunan Keusahawanan Halal (PPKH) dengan dengan kerjasama SME Bank.
Pameran antarabangsa yang bertemakan ‘Solutions for the Modern Lifestyle’ itu berjaya menarik minat tinggi pembeli, pengedar, pengimport serta pemain industri dari negara jiran tersebut sepanjang tiga hari pameran.
Mengulas lanjut, MATRADE berkata, Malaysia dan Vietnam terus menikmati hubungan perdagangan dua hala yang kukuh dengan jumlah dagangan mencecah RM83.12 bilion pada 2024.
“Vietnam kekal sebagai antara rakan dagang terpenting negara di ASEAN dan penyertaan MATRADE dalam ekspo tahun ini mengukuhkan lagi komitmen untuk memajukan kerjasama perniagaan bernilai tinggi serta saling menguntungkan.
“MATRADE akan terus menyokong syarikat tempatan meneroka pasaran Vietnam yang semakin berkembang serta mencari peluang baharu bagi pertumbuhan eksport yang mampan,” katanya. – UTUSAN










