TELUK INTAN: Mangsa banjir di Kampung Batu Tujuh, Changkat Jong di sini berdepan kesukaran besar untuk memulakan kehidupan baharu selepas hampir keseluruhan peralatan rumah musnah akibat bencana banjir yang melanda kawasan itu baru-baru ini.
Seorang mangsa, Halijah Ahmad, 48, berkata, banjir menyebabkannya mengalami kerugian besar apabila perabot dan barangan elektrik di rumahnya rosak teruk serta tidak lagi boleh digunakan.
“Mesin basuh dan peti sejuk rosak sepenuhnya kerana ditenggelami air banjir. Kenderaan seperti kereta dan motosikal juga mengalami kerosakan dan tidak boleh dibawa ke bengkel,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya, keadaan cuaca yang tidak menentu turut menimbulkan kebimbangan kerana hujan masih berterusan ketika ini, sekali gus menyukarkan usaha membersihkan rumah.
“Buat masa ini saya, suami dan tiga anak takut hendak membersihkan rumah kerana bimbang air akan naik semula. Untuk membersihkan bahagian dalam dan luar rumah pun mengambil masa yang lama kerana dipenuhi lumpur dan sampah,” katanya.
Tambahnya, sepanjang tempoh banjir, dia dan keluarganya menumpang di rumah anaknya di bandar Teluk Intan sebelum pulang ke rumah sendiri selepas air surut dua hari lalu.
“Apabila pulang, kami dapati semua barang di dalam rumah sudah rosak, bercampur lumpur dan sampah. Memang sedih melihat keadaan rumah,” katanya.
Halijah berkata, meskipun menyedari risiko banjir, dia tidak mempunyai pilihan untuk berpindah ke kawasan lebih tinggi kerana rumah tersebut merupakan milik keluarganya dan mempunyai geran tanah sendiri.
Mengimbas detik cemas kejadian banjir pada 23 November lalu, Halijah berkata, air naik terlalu cepat sehingga hampir menenggelamkan rumahnya.
Katanya, kejadian itu merupakan pengalaman paling menakutkan dalam hidupnya apabila air naik sehingga ke paras bumbung, memaksa dia dan keluarga memanjat alang kayu bumbung untuk menyelamatkan diri.
Menurutnya, kejadian banjir besar itu merupakan yang kedua terburuk dialami keluarganya selepas kejadian pada tahun 1984. – UTUSAN









