Malindo Airways diperintah bayar RM1.44 juta kepada tiga juruterbang

Malindo Airways diperintah bayar RM1.44 juta kepada tiga juruterbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Perusahaan di sini memerintahkan syarikat penerbangan Malindo Airways Sdn. Bhd. membayar pampasan sebanyak RM1.44 juta kepada tiga bekas juruterbang kerana menamatkan perkhidmatan mereka tanpa sebab yang munasabah ketika pandemik, lima tahun lalu.

Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Zalina Awang @ Mamat, membuat keputusan itu pada minggu lalu selepas mendapati penamatan perkhidmatan ketiga-tiga bekas juruterbang itu dibuat secara bona fide (niat baik). Penghakiman tersebut diperoleh media hari ini.

Tiga pihak menuntut ialah juruterbang perintis, Muralitharan Maniam; penolong juruterbang, Nik Afiq Farhan Nik Mohd Hilmi dan Kapten Boeing 737, Foong Wai Ming.

Bagi Muralitharan dan Wai Ming, mahkamah memerintahkan Malindo Airways membayar pampasan masing-masing sebanyak RM596,000 manakala Nik Afiq menerima pampasan sebanyak RM252,000.

Semua pampasan diperintahkan dibuat dalam tempoh 30 hari dengan faedah lapan peratus setahun sehingga bayaran diselesaikan sepenuhnya.

Menurut alasan penghakiman, mahkamah mendapati Malindo Airways bertindak memberhentikan ketiga-tiga juruterbang tersebut tanpa sebarang bukti yang mencukupi walaupun syarikat mendakwa berdepan masalah kewangan akibat pandemik Covid-19.

Zalina berpendapat, walaupun majikan mempunyai perogatif untuk menyusun tenaga kerja sewaktu pandemik, perogatif itu bukan bersifat mutlak dan tertakluk dengan undang-undang buruh.

“Mahkamah turut mendapati pelaksanaan pemberhentian (retrenchment) berkenaan tidak disertai dengan penjelasan munasabah mengenai pemilihan pekerja serta tidak mematuhi prosedur,” katanya.

Muralitharan dan Wai Ming masing-masing berkhidmat kira-kira tujuh tahun, manakala Nik Afiq selama empat tahun sebelum ketiga-tiga bekas juruterbang itu ditamatkan perkhidmatan pada 1 November 2020.

Selain itu, Zalina berkata, syarikat tersebut tidak boleh mengabaikan prinsip Last-In-First-Out (LIFO) sewenang-wenangnya tanpa justifikasi yang kukuh walaupun ketika pandemik.

Mahkamah juga mengambil kira isu ketiadaan rundingan, pemberian tempoh notis yang singkat serta kegagalan majikan mengemukakan bukti lengkap bagi menyokong dakwaan lebihan pekerja (genuine redundancy).

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan penamatan perkhidmatan ketiga-tiga pihak menuntut adalah tidak sah sekali gus membenarkan tuntutan yang dikemukakan terhadap Malindo Airways.

Ketika prosiding, Nik Afiq diwakili peguam, Mohd. Syahril Daud; Muralitharan diwakili peguam, Hema Kumar Nageswana Row; manakala Wai Ming diwakili peguam, Nur Zur’ain Mat Ramlee. Malindo Airways diwakili peguam Jeyendran Ramachandran.

Pada 11 Oktober 2020 lalu, media melaporkan, syarikat penerbangan di seluruh dunia termasuk Malindo Airways mengurangkan pekerja akibat pandemik Covid-19.

Syarikat penerbangan itu juga dikatakan mengurangkan jumlah pesawatnya kepada lima pesawat Boeing 737 dan enam turboprop ATR.

Berdasarkan laporan, proses pemberhentian kerja melibatkan kakitangan yang terlibat dijangka selesai pada 30 November tahun sama manakala kakitangan yang tidak terjejas diperlukan melakukan tugasan yang pelbagai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×