KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan potensi jualan eksport berjumlah RM78.48 juta menerusi penyertaan dalam Misi Lonjakan Eksport (EAM) ke Timor-Leste, sekali gus memperkukuh hubungan perdagangan dua hala terutamanya selepas negara itu menyertai ASEAN.
Misi yang berlangsung dari 17 hingga 21 November anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Dili itu menyaksikan 19 syarikat Malaysia mengadakan 100 sesi pertemuan perniagaan dengan 61 firma dari Timor-Leste.
Menurut kenyataan, pencapaian itu menunjukkan keserasian yang semakin kukuh antara syarikat Malaysia dan pasaran Timor-Leste yang sedang berkembang pesat.
“Lebih 100 pertanyaan perniagaan turut diterima, menggambarkan minat tinggi terhadap produk dan perkhidmatan Malaysia.
“Misi ini bukan sahaja berjaya membuka pasaran baharu, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang yang kompetitif dan dipercayai dalam rantau ASEAN,” katanya.
Antara pencapaian utama misi tersebut ialah pemeteraian Memorandum Perjanjian (MOA) antara Mighty Skills International College dan lima institusi pendidikan utama Timor-Leste, iaitu Arvec Development Group (ARVEC), Beyond Success Technology Timor LDA (BSTT), Dili Institute of Technology (DIT), East Timor Development Agency (ETDA) dan Fundasaun Santa Marta Regina (FSMR).
Kerjasama itu memperkukuh peranan Malaysia dalam membantu pembangunan modal insan Timor-Leste, terutama melalui kepakaran Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).
Misi itu juga berlangsung pada waktu signifikan susulan kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang diadakan pada 26 Oktober lalu, membuka peluang baharu kepada syarikat Malaysia untuk mendapatkan kelebihan ‘first-mover’ dalam pasaran yang memiliki potensi besar itu.
Sepanjang empat hari program, peserta menghadiri seminar perniagaan dan sesi pitching yang disertai lebih 150 pemain industri dan media. Pakar dari Kumpulan Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Miranda Law Firm turut memberikan pandangan mengenai hala tuju ekonomi negara tersebut, pembangunan infrastruktur dan sektor berimpak tinggi.
Selain itu, delegasi turut menyertai lawatan tapak ke rangkaian peruncitan utama dan Pelabuhan Teluk Tibar bagi menilai ekosistem logistik serta peluang perniagaan baharu.
Sesi jaringan perniagaan bersama rakan penganjur turut membantu membuka lebih banyak peluang kerjasama.
“Penglibatan ini selari dengan usaha berterusan Matrade untuk mempelbagaikan pasaran eksport Malaysia dan mengukuhkan daya saing negara di peringkat serantau dan global,” katanya. – UTUSAN










