PETALING JAYA: Malakoff Corporation Bhd. dijangka berdepan impak operasi dan kewangan terhad susulan insiden runtuhan kren pengendalian arang batu di Kompleks Tanjung Bin (TBC), Johor yang mengorbankan dua pekerja kontraktor, menurut CGS International.
Firma penyelidikan itu berkata, kematian dan kecederaan merupakan impak serta-merta paling material dan insiden tersebut adalah kemalangan tempat kerja pertama melibatkan kematian sejak penyenaraian semula Malakoff pada 2015.
“Dari sudut operasi dan kewangan, impak jangka pendek kekal terkawal memandangkan kejadian tersebut hanya melibatkan satu aset pengendalian arang batu, penjanaan kuasa tidak terjejas secara langsung dan stok arang batu mencukupi untuk menampung operasi selama satu hingga dua bulan.
“Walau bagaimanapun, ini merupakan insiden keselamatan material kedua di TBC dalam tempoh tiga bulan, selepas kejadian kebakaran di fasiliti Tanjung Bin Energy (TBE) pada Oktober 2025.
“Situasi ini berkemungkinan membawa kepada penelitian lebih ketat oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). Ketidaktentuan lain termasuk hasil siasatan, tempoh pembaikan serta potensi liabiliti atau tuntutan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Malakoff Corporation mengesahkan kejadian yang berlaku pada 13 Disember 2025 itu turut mengakibatkan tiga kecederaan serta kebakaran kecil di kawasan jeti, namun berjaya dikawal.
Pengurusan syarikat memaklumkan operasi di Tanjung Bin Power (TBP) berkapasiti 2.1 gigawatt (GW) dan TBE berkapasiti 1.0GW kekal tidak terjejas.
CGS International berkata, susun atur TBC yang memisahkan kemudahan pengendalian arang batu daripada kawasan simpanan bahan api dan unit penjanaan kuasa membantu mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik dalam tempoh terdekat.
“TBP dan TBE dianggarkan menyumbang sekitar 12 peratus daripada kapasiti penjanaan terpasang di Semenanjung Malaysia.
“Dari segi penilaian, insiden berkenaan meningkatkan risiko tajuk berita dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), namun portfolio loji janakuasa gas Malakoff secara sejarah menunjukkan prestasi operasi lebih kukuh berbanding aset arang batu.
“Pada harga penutupan 0.855 sen, saham Malakoff diniagakan pada diskaun ketara berbanding anggaran nilai aset sekitar 0.95 sen sesaham,” ujarnya.
Firma penyelidikan mengekalkan saranan ‘tambah’ bagi saham tersebut dengan harga sasaran
(TP) RM1.20 sesaham, sambil mengingatkan bahawa kejadian berulang boleh mewujudkan tekanan berpanjangan ke atas harga saham sehingga siasatan selesai dan kejelasan prospek masa depan diperoleh. – UTUSAN









