BENTONG: Majlis Senator Malaysia berada di barisan hadapan dan sangat signifikan dalam memastikan Parlimen kekal bebas, berwibawa dan berfungsi sebagai medan demokrasi tertinggi.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, para senator memainkan peranan penting dalam membawa suara rakyat secara berhemah dan berwibawa selain memastikan hala tuju negara sentiasa berada pada landasan yang tepat.
“Perbincangan yang berlangsung sepanjang pemukiman ini amat signifikan, khususnya berhubung keperluan memperhebat reformasi institusi Parlimen dan usaha memastikan kebebasan Parlimen terus terpelihara daripada sebarang campur tangan yang menjejaskan kewibawaannya,” katanya berucap merasmikan penutupan Pemukiman Majlis Senator Malaysia Tahun 2025 di Swiss-Garden Hotel & Residences Genting Highlands, di sini, semalam.
Menurut Wan Rosdy, dalam landskap politik semasa yang sering bergegar dengan retorik, negara memerlukan pemimpin yang matang, berpengalaman dan mempunyai kebijaksanaan merentasi zaman.
“Senator adalah tokoh yang memainkan peranan tersebut. Mereka menjadi suara rasional ketika negara memerlukan pertimbang teliti, menjadi pendamai ketika negara diuji dan menjadi pengimbang ketika dasar-dasar strategik negara perlu diperhalusi,” katanya.
Wan Rosdy berkata, sumbangan para senator amat besar kerana Dewan Negara berfungsi sebagai medan semakan kedua yang memperkukuh proses semak dan imbang terhadap setiap rang undang-undang yang dibentangkan.
“Fungsi pengimbang ini memastikan sesuatu undang-undang atau dasar yang digubal tidak hanya memenuhi kehendak politik semasa, tetapi mengambil kira kestabilan jangka panjang negara, keharmonian masyarakat majmuk serta keluhuran Perlembagaan.
“Dengan pengalaman luas dan kepakaran pelbagai bidang, senator-senator menjadi suara semak dan imbang yang memandu hala tuju negara agar sentiasa berada di landasan sederhana, rasional dan berteraskan kepentingan nasional,” katanya. – UTUSAN










