BAGAN DATUK: Seorang lelaki kurang upaya (OKU) meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam tali air Sungai Tiang Baru, Selekoh dekat Hutan Melintang di sini hari ini.
Mangsa, Tan Leong Huat, 77, yang memakai kaki palsu dan berkerusi roda disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 7.52 pagi.
Katanya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang diatur gerak ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati kerusi roda milik mangsa berada di tepi tali air dan mangsa disyaki telah terjatuh ke dalam tali air tersebut.
“Anggota bomba menjalankan operasi dan berjaya menjumpai mangsa pada pukul 8.40 pagi dalam keadaan terapung di bawah jambatan Sungai Tiang pada jarak dua meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh,” katanya.
Menurut beliau, mayat mangsa dibawa keluar oleh anggota dari dalam air dan lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada pukul 9.20 pagi,” katanya. – UTUSAN









