Lebih 620,000 penempatan pekerjaan MYFutureJobs sejak 2023

Lebih 620,000 penempatan pekerjaan MYFutureJobs sejak 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 622,283 penempatan pekerjaan berjaya direkodkan sejak tahun 2023 hingga 19 Disember lalu
dibawah inisiatif MYFutureJobs, sekali gus mencerminkan keberkesanan dasar pasaran buruh aktif negara serta ketahanan
ekonomi Malaysia dalam mendepani ketidaktentuan global.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, pencapaian tersebut selari dengan penilaian positif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap prestasi serta daya tahan ekonomi Malaysia.

Menurut beliau, pengiktirafan itu turut mencerminkan kekuatan asas domestik negara dan dasar fiskal serta ekonomi yang berhemah yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim.

“Pengiktirafan IMF membuktikan keupayaan Malaysia untuk kekal berdaya tahan walaupun berdepan cabaran perdagangan global dan ketidaktentuan dasar antarabangsa, termasuk kesan tarif tinggi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.

“Perkembangan positif ini didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, pelaburan berterusan serta pertumbuhan
guna tenaga yang sihat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

KESUMA FOKUS PASARAN BURUH DINAMIK

Dari perspektif Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), beliau menegaskan bahawa ketahanan ekonomi perlu diterjemahkan kepada hasil yang bermakna kepada rakyat,khususnya melalui penyediaan peluang pekerjaan berkualiti, gaji yang adil dan pengukuhan tenaga kerja nasional.

“Pertumbuhan ekonomi mesti seiring dengan penciptaan pekerjaan berkualiti. Fokus kami adalah memastikan pertumbuhan yang inklusif serta melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran relevan bagi menghadapi pasaran
buruh yang semakin dinamik,” jelasnya.

Sehubungan itu, Ramanan berkata, KESUMA menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan terus memperkukuh inisiatif MYFutureJobs, portal pekerjaan nasional yang berperanan sebagai platform utama kerajaan bagi
padanan kerjaya, pemudah cara tenaga kerja dan penyelarasan pasaran buruh.

Beliau menambah, KESUMA akan terus mempertingkatkan keupayaan MYFutureJobs dengan memanfaatkan teknologi digital, memperkukuh kerjasama strategik bersama majikan serta menghasilkan pemprofilan pekerja yang lebih menyeluruh dan bersepadu.

MALAYSIA BERPRESTASI POSITIF – IMF

Selain itu, KESUMA turut memperkukuh pasaran buruh negara melalui inisiatif strategik dan bersepadu bersama PERKESO,
HRD Corp, Jabatan Tenaga Manusia dan TalentCorp.

Pendekatan ini merangkumi pemadanan kerja aktif, pembangunan kemahiran, perlindungan keselamatan sosial,
pelaksanaan Dasar Gaji Progresif serta penawaran gaji yang lebih kompetitif, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara diterjemahkan secara langsung kepada peluang pekerjaan berkualiti, pendapatan mampan dan tenaga kerja yang berdaya saing.

Media sebelum ini melaporkan IMF menyifatkan Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketegangan perdagangan global dan ketidaktentuan dasar, disokong penggunaan serta pelaburan domestik yang kukuh,
pertumbuhan pekerjaan dan pemulihan sektor teknologi.

Institusi kewangan antarabangsa itu turut menegaskan prestasi positif tersebut didorong pelaksanaan dasar ekonomi yang mantap serta pendekatan makroekonomi dan kewangan yang berhemat. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN