TENOM: Ladang sayur-sayuran di Bukit Layang-Layang, Ulu Paal, di daerah ini berpotensi menjadi model pembangunan pertanian tanah tinggi berimpak tinggi di Sabah menerusi kerjasama strategik pengusaha, penduduk tempatan dan agensi kerajaan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kawasan lebih 20 hektar itu memanfaatkan penggunaan minimum bahan kimia serta mengutamakan bahan organik dalam pengeluaran sayur-sayuran seperti kobis, bunga kubis, terung, cili dan lada.
“Kawasan itu baharu dibangunkan tiga tahun lalu dan pengusahanya berusaha meminimumkan penggunaan racun serta baja kimia.
“Mereka banyak menggunakan bahan organik seperti najis ayam. Itu adalah pendekatan selari dengan hala tuju pertanian mampan yang ingin kita bangunkan di Sabah,” katanya selepas melawat ladang sayur-sayuran di Bukit Layang-Layang, Ulu Paal, di sini, hari ini.
Beliau berkata, jabatan pertanian membantu membangunkan satu hektar kawasan di ladang itu, manakala selebihnya dibangunkan pengusaha dengan menyewa tanah milik penduduk kampung dengan kadar sewaan RM100 hingga RM150 sehektar sebulan.
“Apa yang membanggakan, hampir 100 peratus pekerja ladang terbabit terdiri penduduk tempatan yang menerima gaji minimum RM1,700 termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Inilah model kerjasama yang ingin kita lihat dengan pelabur, pengusaha dan masyarakat tempatan berkembang bersama,” katanya. – UTUSAN









