KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN berhubung ketegangan Thailand-Kemboja yang dijadualkan berlangsung hari ini, ditangguhkan sehingga semua yang dirangka dalam keadaan teratur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia sedang mengkoordinasi dan memantau perkembangan terkini ketegangan kedua-dua negara berjiran tersebut.
Katanya, sehingga saat ini, Malaysia masih merayu kepada kedua-dua pihak bertelagah untuk menghentikan ketegangan supaya kestabilan dapat dikembalikan ke rantau ini.
“Jadi kami menangguhkan sementara (Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN) untuk memastikan semuanya teratur.
“Namun, kami masih merayu kepada semua pihak supaya menghentikan pertempuran kerana situasinya sangat kritikal,” katanya pada pelancaran buku The Man Who Could Move Mountains: Reflections on the Social Activism of S.M. Mohamed Idris di sini, semalam.
Perdana Menteri berkata, dalam ketengangan semakin memuncak, beliau sentiasa berhubung dengan rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul dan Hun Manet setiap hari.
Jumaat lalu, akhbar melaporkan Perdana Menteri memaklumkan Malaysia akan mengadakan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat bagi menilai situasi semasa serta menyokong langkah meredakan ketegangan di rantau ini.
Katanya, selaku Pengerusi ASEAN, mesyuarat itu juga bagi mengukuhkan peranan kolektif ASEAN dalam memelihara keamanan serantau.
Anwar berkata, Malaysia masih berunding dengan Thailand dan Kemboja supaya suhu ketegangan dapat diturunkan susulan tindakan terbaharu tentera Thailand yang dilaporkan melaksanakan sekatan di Teluk Thailand.
Difahamkan sekatan dilaksanakan bagi menyekat dan memastikan Kemboja tidak mendapat sebarang bekalan logistik.
Terdahulu dalam ucapan, Anwar berkata, aktivis sosial digalakkan kekal aktif menyuarakan pandangan konstruktif yang membawa kepada perubahan positif kepada pembangunan negara dan masyarakat.
Katanya, peranan aktivis sosial tidak boleh dipandang sepi terutamanya dalam usaha membangunkan sesebuah negara adil, penuh ihsan tanpa mengabaikan mana-mana lapisan masyarakat.
Bagaimanapun, katanya, gerakan aktivis sosial itu mesti disusun secara bijaksana dan bukannya membawa pandangan ekstreme seperti mempromosikan kebencian, sinis, menjatuhkan atau hanya menuding jari sahaja.
Anwar turut menjadikan bekas Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Allahyarham S.M. Mohamed Idris sebagai contoh keteguhan seorang aktivis sosial dalam memperjuangkan hak pengguna, landskap sosial dan alam sekitar.
“Sosok SM Idris inilah teladan. Boleh senyum, berbaik dengan semua, tapi tidak pernah berganjak dalam isu pokok dan prinsip. Kita perlukan keberanian, keteguhan dan kesederhanaan hidup seperti beliau,” katanya.
Majlis pelancaran buku ini turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Pengerusi Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS), Prof. Dr. Maszlee Malik dan Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader. – UTUSAN










