KPM teliti resolusi Kerajaan Melaka berkaitan pendidikan

KPM teliti resolusi Kerajaan Melaka berkaitan pendidikan

FADHLINA Sidek (tengah) ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Penyerahan Sekolah Baharu 20 Bilik Darjah, Asrama dan Kemudahan Lain di SMKA Sheikh Tahir Jalaluddin, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Kesemua 10 resolusi berkaitan pendidikan yang dikemukakan oleh Kerajaan Melaka dalam satu konvensyen khas semalam akan diteliti dengan sebaiknya oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setiap resolusi termasuk mengenai disiplin pelajar serta sahsiah juga akan dinilai sama ada ia bersesuaian dengan dasar pendidikan negara atau sebaliknya.

Dalam hal ini katanya, KPM berterima kasih kepada Kerajaan Melaka kerana melontarkan pandangan demi membantu menambah baik sistem pendidikan dalam segenap aspek.

“Ya, kita akan teliti semua resolusi itu dan kita juga akan pertimbangkan serta melihat sama ada ia memberi kesan atau tidak kepada keseluruhan dasar yang sedang kita laksanakan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sekolah Baharu 20 Bilik Darjah, Asrama dan Kemudahan Lain di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin, Seberang Perai Tengah di sini, hari ini.

Antara resolusi berkaitan disiplin, sahsiah dan kesejahteraan pelajar yang dikemukakan dalam konvensyen itu termasuk pelaksanaan hukuman rotan secara berhemah yang bertujuan untuk mendidik serta penguatkuasaan tindakan undang-undang terhadap ibu bapa yang membenarkan anak mereka ponteng sekolah dan sebagainya.

Menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, resolusi itu merupakan antara dapatan penting hasil rumusan konvensyen khas yang dijalankan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti serta rakan strategik pendidikan di Melaka yang berlangsung selama dua hari.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, KPM juga telah melancarkan satu inisiatif yang dikenali sebagai Program Akses Komprehensif Tadika (PAKAT) untuk prasekolah yang dijayakan dengan kerjasama ibu bapa, PIBG serta komuniti setempat, baru-baru ini.

“Menerusi inisiatif ini, kita mahu memberikan ruang kepada ibu bapa untuk terbabit secara penuh dalam sekolah khususnya sejak di peringkat prasekolah lagi.

“Jadi, PAKAT ini boleh dianggap sebagai antara agenda penting untuk kita sama-sama memberikan sumbang saran kepada sekolah demi pendidikan anak-anak,”ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN