KEHEBATAN dua kumpulan rock legenda tanah air, Search dan XPDC sememangnya tidak perlu disangkal lagi. Keberadaan mereka dalam industri hiburan bukan sekadar menjulang karya, tetapi lebih kepada penyatuan kelompok peminat pelbagai generasi serta menjadi simbol ikon dan mentor kepada penggiat muzik rock hari ini.
Dua kumpulan ini masih dianggap relevan serta punyai ribuan pengikut walaupun ada kalanya dilanda pelbagai krisis dalaman seperti anggota yang bersilih ganti serta pertikaian jenama yang masih belum berkesudahan sehingga kini.
Namun isu tersebut dilihat tidak menjadi kudis atau barah buat mereka kerana setiap ujian yang hadir disifatkan sebagai sepak terajang serta luka kecil tidak berbekas dalam menerokai sebuah perjuangan yang belum bernoktah. Membawa gelaran oldtimer yang punya ribuan peminat serta menghasilkan karya bertaraf masterpiece bukanlah satu ‘lesen’ untuk mendabik dada mahupun berasa bangga, tetapi itulah nilai harga yang diterima atas kerja keras dan penat lelah sebelum ini. Bukan mudah meletakkan nama di puncak.
Dengan tagline, Fenomena Samurai yang diangkat melalui judul album terdahulu, Stadium Perpaduan Petra Jaya, Sarawak bakal menjadi saksi pertembungan mereka dalam siri jelajah pertama Borneo pada 13 Disember ini, sekali gus menjadi penanda aras bermakna buat Seri Simfoni Sdn. Bhd. dan Bintang Batu Event yang merencanakan idea sedemikian.
Walaupun merupakan percubaan sulung penganjur, tetapi maklum balas yang diterima daripada peminat cukup memberangsangkan sementelah meletakkan dua kumpulan besar bergabung atas satu pentas.
Menurut penganjurnya, Ikhram Zainuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Atom, pemilihan dua kumpulan ini dilihat bertepatan, memandangkan keduanya adalah ikon muzik rock yang di kenali serta mempunyai ribuan peminat di setiap pelosok tanah air. Search dan XPDC mempunyai banyak karya yang menjadi siulan pendengar, malah lagu-lagu mereka tetap melekat di hati peminat sehingga hari ini.
“Rasanya semua penggemar muzik rock di Malaysia mengenali Search dan XPDC, lagu-lagu mereka cukup berbekas dan bernostalgia di hati peminat, sehinggakan setiap daripada album mereka mampu terjual ratusan ribu unit.
“Oleh itu, tidak salah untuk menggabungkan dua buah kumpulan ini di atas satu pentas, di sinilah nanti peminat boleh saksikan sebuah persembahan bersejarah yang penuh dengan kualiti muzik yang hebat.
“Konsert Fenomena Samurai bukan sekadar mengusung sebuah jenama, tetapi menjanjikan sebuah penganjuran yang teliti serta piawaian terbaik dari segi pemilihan lagu, audio dan pencahayaan,” ujarnya
Untuk merealisasikan konsert ini, tidak dinafikan kos penganjuran termasuk logistik berlipat kali ganda, namun penganjur optimis konsert ini mencapai sasaran yang diinginkan dan bakal mendapat sambutan luar biasa daripada peminat.
Jenama dua kumpulan ini juga sudah cukup memberi impak besar malah kesefahaman yang terjalin antara mereka menambahkan keyakinan Konsert Fenomena Samurai bakal mendapat sambutan luar biasa.
Atom turut menambah, peminat bukan sekadar disajikan dengan seleksi lagu-lagu hits mereka, tetapi bakal mencipta nostalgia serta merasai roh perjuangan muzik rock Malaysia yang tidak pernah padam seawal dekad 80-an.
“Bukan sekadar persembahan biasa, tetapi lebih kepada simbol penyatuan generasi dan kesinambungan legasi antara artis dan peminat.
“Jika sebelum ini konsert mereka cukup sukses di Semenanjung, jadi tidak salah rasanya kalau kita bawa mereka terbang ke Borneo bagi menghargai peminat-peminat di sana pula,” ujarnya.
Search yang dibarisi oleh Din (gitar), Kid (gitar), Pasya (vocal), Wan Braka (bass) dan Minn (drum) mengakui Konsert Fenomena Samurai ini adalah medan terbaik untuk mereka beraksi dengan wajah baharu melalui sentuhan dua anggota terkini iaitu Pasya dan Wan Braka.
Walaupun sering bertukar anggota, namun mereka sentiasa tampil dengan kelas tersendiri, tanpa mencacatkan perjuangan muzik yang telah diterokai sekian lama di samping penambahbaikan yang bakal dipertontonkan kelak.

“Apa yang boleh kami katakan, Pasya dan Wan sudah ‘lulus’ untuk bersama Search pada konsert ini nanti, malah kami juga akan memberikan persembahan terbaik dengan seleksi lagu-lagu hits yang bakal mengimbau kenangan peminat bersama Search.
“Pasti akan ada banyak kejutan nanti, tambah pula bila diberi peluang berkongsi pentas dengan XPDC. Ini adalah sejarah kerana sebelum ini kami tidak pernah berkongsi pentas untuk konsert di Borneo.
“Konsert Fenomena Samurai bukan hanya konsert untuk peminat melihat dan mendengar lagu-lagu Search dan XPDC tetapi kami percaya mereka yang hadir sudah sebati dengan sepak terajang, kecintaan serta perjuangan kami,” ujar Din ketika ditemui.
Bagi XPDC yang dianggotai oleh Mamu (vocal), Izo (gitar), Arif (gitar), Eddy (bass) dan Lola (drum) tawaran mengadakan konsert berskala besar di Borneo bersama Search ibarat seperti orang mengantuk disorong bantal.
Walaupun keduanya nama besar dalam industri muzik rock tanah air, tetapi berkongsi pentas adalah satu keunikan. Bukan ingin bersaing untuk menjadi siapa lebih hebat dan berkuasa, tetapi lebih kepada gabungan dua legasi yang bakal mencorak sejarah muzik di Malaysia.
“Ramai beranggapan ini ‘medan tempur’ buat kami, tetapi sebenarnya tidak. Kami mewakili kumpulan masing-masing dan bakal memberikan sebuah persembahan terbaik buat peminat. Tiada istilah siapa yang lebih hebat atau sebaliknya.
“XPDC menerima banyak maklum balas daripada peminat terutamanya senarai lagu-lagu yang akan dibawa ketika konsert nanti. Jadi kami beri peluang kepada mereka untuk pilih lagu apa yang diinginkan kerana peminat merupakan keutamaan kami,” kata Lola mewakili XPDC.
Konsert Fenomena Samurai yang berlangsung selama tiga jam bermula seawal 8 malam akan menyaksikan Search dan XPDC beraksi dengan membawakan sekitar 15 hingga 17 lagu hits sepanjang zaman melalui karya terabik mereka.
Namun pada sebelah petangnya sebelum konsert bermula, ruang pentas akan diserikan dengan acara ‘pemanas badan’ melalui persembahan bakat-bakat baharu tempatan dari Sarawak untuk menghiburkan pengunjung.
Kepada peminat yang ingin mendapatkan tiket Konsert Fenomena Samurai secara online boleh layari, http://fenomenasamurai.ubertickets.asia/. Tiket fizikal turut dijual melalui agen-agen sah dan di pintu masuk mengikut kategori RM359 (VIP), RM269 (mosh), RM149 (gold ), RM229 (silver) dan RM129 (bronze)
Okey ‘gaisss’, tunggu apa lagi? Jom kita headbanging gegarkan Borneo!










