Tidak cukup sekali sarapan di Warong 69

Tidak cukup sekali sarapan di Warong 69

PAPAN tanda gerai yang direka mengikut penanda nombor laluan lebuh raya menggamit geng motosikal untuk singgah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA pelanggan beritahu, dia tidak boleh lupakan rasa sambal sotong. Hampir setiap hari dia datang menikmatinya bersama nasi lemak.

Begitu juga nasi goreng dan mihun goreng, kadang-kadang pukul 8.30 pagi sudah habis. Boleh dikatakan setiap menu di Warong 69 ada ‘peminat’ tersendiri.

“Ada pelanggan yang sanggup datang dari Rawang semata-mata nak makan nasi goreng. Dia kata makanan di sini sedap-sedap. Makin lama makin sedap.

“Ada seorang kontraktor pula dia datang sarapan pukul 7 pagi. Pukul 10 pagi dia datang semula bawa kawan-kawan pula.

“Yang pertama kali datang sini, ramai selepas habis makan akan bungkus bawa pulang,” cerita pemilik gerai tersebut, Nor Azura Baharuddin tentang pelbagai fiil para pelanggannya.

Kebanyakan pelanggan datang dari sekitar Kalumpang, Batang Kali, Kuala Kubu Baharu dan Tanjong Malim. Mereka daripadaa pelbagai latar belakang termasuk pegawai tinggi kerajaan dan orang kenamaan (VIP).

Saya pun sama. Saya yang bukan penggemar soto bila makan di sini, dua minggu kemudian datang lagi cuba laksa pula.

Dalam erti kata lain, tidak puas kalau sekali sahaja singgah makan di gerai tersebut yang terletak di Kampung Keliang, Kalumpang, Hulu Selangor. Hidangan paling laris adalah nasi lemak kukus.

Istimewanya, beras basmati digunakan yang menjadikan nasinya lebih lembut, lebih berlemak, lebih beraroma. Digandingkan dengan sambal petai ikan bilis mata biru, menjadikan nasi lemaknya rasa lebih premium.

Tambah menyelerakan, ayam berempah dan telur mata digoreng panas-panas. Angkat keluar dari kuali terus letak dalam pinggan pelanggan!

Boleh juga dimakan bersama sambal paru, sambal kerang, sambal sotong, rendang daging dan rendang ayam.

Selain soto nasi himpit dan laksa yang pernah saya makan, ada bakso, lempeng kelapa, telur setengah masak dan kuih-muih tradisional.

Banyaknya nak kena cuba! Lebih mengujakan saya, kesemua hidangan dimasak sendiri oleh Nor Azura dibantu dua anak perempuannya bersama kira-kira 10 pekerja.

Padahal dia sendiri tiada pengalaman dalam bidang katering mahupun perhotelan sebaliknya pernah berkhidmat dengan sebuah bank tempatan sebelum ini.

Selain makanan yang sedap-sedap, pelanggan sukakan suasananya yang tenang, jauh daripada hiruk-pikuk bandar, ala kampung.

Kalau musim buah, berderet gerai jual durian, rambutan dan langsat di sepanjang jalan. Jalan besar di depan gerai itu juga tidak sesak kerana kebanyakan kenderaan menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Kenderaan pelanggan boleh diletakkan di sepanjang jalan lurus di kedua-dua arah. Ada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang memantau lalu lintas selain membantu pelanggan menyeberang jalan.

Warong 69 juga mesra bikers (penunggang motosikal). Papan tanda gerai yang direka ikut penanda nombor laluan lebuh raya sudah memadai untuk memberitahu yang tempat itu adalah port geng motosikal.

Kalau datang ramai-ramai, mereka boleh susun motosikal di depan surau di seberang jalan.

Tidak akan ganggu lalu lintas dan kenderaan pelanggan lain.

Adanya kemudahan sebegini tidak menghairankan kerana Nor Azura sendiri merupakan penunggang dan pemilik motosikal berkuasa tinggi.

Dia biasa berkonvoi ke banyak tempat dan memahami keperluan penunggang motosikal.

Ditanya kenapa dinamakan Warong 69, dia berkata, ia adalah nombor rumah arwah suaminya yang terletak bersebelahan gerai. Nama tersebut juga dipilih sebagai kenangan mereka berdua yang merancang mengusahakan perniagaan itu bersama-sama selepas bersara nanti.

Bagaimanapun, hasrat arwah suaminya tidak kesampaian kerana meninggal dunia tiga minggu sebelum gerai beroperasi. Warong 69 dibuka sejak 8 Februari 2025.

Pada asalnya, hanya empat set meja makan kayu untuk pelanggan tidak sampai 15 orang boleh duduk menjamu selera. Minggu ke minggu,

Nor Azura terpaksa tambah bilangan meja dan kerusi berikutan pelanggan yang semakin ramai.

Sekarang sekali duduk serentak mampu tampung hingga 80 orang. Setiap hari kira-kira 200 pelanggan datang makan manakala hujung minggu boleh cecah 600 orang.

Beroperasi dari pukul 7 hingga 11.30 pagi, Warong 69 dibuka setiap hari kecuali Isnin (tutup). Apa tunggu lagi, jom kita bersarapan di Warong 69.
Tapi jangan lambat, nanti makanan habis!-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN