PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menghubunginya tengah malam tadi bagi berbincang berkenaan konflik Kemboja dan Thailand, selain hubungan dua hala serta isu global yang menjadi kepentingan bersama.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, beliau menjelaskan peranan Malaysia yang menggesa kedua-dua negara agar bertenang dan kembali ke meja rundingan melalui dialog serta mekanisme dua hala serta ASEAN.
Beliau berkata, Malaysia bersedia membantu usaha meredakan keadaan, melindungi orang awam dan memulihkan kestabilan serantau, selaras dengan semangat kejiranan baik ASEAN.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat bagi menilai situasi dan menyokong langkah penyaheskalasian.
“Saya turut menyampaikan penghargaan atas keterlibatan aktif AS dengan ASEAN serta keyakinan yang diberikan kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025,” katanya. – UTUSAN










