KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang memperluas teleperubatan di kawasan pedalaman bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan kesihatan yang adil, berkualiti dan menyeluruh tanpa mengira kedudukan geografi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, teleperubatan merupakan antara inisiatif utama kementerian bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan selain mengurangkan kebergantungan terhadap kehadiran fizikal pesakit di fasiliti kesihatan.
“KKM sentiasa komited dalam memperluas akses perkhidmatan kesihatan kepada rakyat terutamanya di kawasan pedalaman dan sukar dicapai.
“Perkhidmatan teleperubatan mula diperkenalkan pada 2020 ketika negara berdepan pandemik Covid-19 dan sejak itu, ia menerima sambutan menggalakkan kerana memudahkan masyarakat mendapatkan konsultasi pegawai perubatan tanpa perlu hadir secara fizikal ke klinik atau hospital,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Manolan Mohamad berhubung penggunaan teleperubatan di kawasan pedalaman.
Mengulas impak positif pelaksanaan perkhidmatan teleperubatan, Dzulkefly berkata, ia dapat mengurangkan keperluan perjalanan jauh ke hospital atau klinik pakar sekali gus mempercepatkan akses kepada perundingan pakar.
Selain itu, katanya, perkhidmatan tersebut juga mampu menambah baik pengurusan penyakit kronik dan mengurangkan masa menunggu bagi kes susulan.
“Perkhidmatan teleperubatan melalui beberapa platform konsultasi maya termasuk MySejahtera, Google Meet, Health Information Exchange (HIE) dan platform lain telah dilaksanakan di 639 klinik kesihatan dan 139 klinik kesihatan pedalaman.
“Manakala jumlah sesi konsultasi maya berjaya yang telah dijalankan sehingga akhir November 2025 ialah sebanyak 251,267,” katanya. – UTUSAN










