PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka semula permohonan bagi jawatan tetap pegawai farmasi tahun depan, sekali gus memberi peluang baharu kepada pegawai lantikan kontrak apabila kekosongan baharu diluluskan.
KKM memaklumkan, langkah itu diambil susulan selesainya proses pengambilan terkini yang hanya mengisi 600 jawatan tetap berikutan jumlah kekosongan yang terhad.
“Baki pegawai farmasi lantikan kontrak tidak dapat diserap kerana tiada penambahan jawatan dalam perjawatan yang telah diluluskan.
“Status simpanan calon turut disahkan telah luput pada Oktober lalu, selaras dengan prosedur pelantikan sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KKM turut memaklumkan pegawai farmasi yang layak termasuk mereka yang sebelum ini berada dalam senarai simpanan perlu mengemukakan permohonan baharu sebaik sahaja pengambilan dibuka.
“KKM komited terhadap perancangan tenaga kerja yang telus, berasaskan merit dan berpandukan keperluan perkhidmatan serta kapasiti perjawatan yang diluluskan,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kedudukan 730 pegawai farmasi kerajaan masih tidak menentu apabila janji untuk menyerap mereka ke jawatan tetap belum direalisasikan.
Senator Dr. RA. Lingeswaran berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 1,330 pegawai ‘sementara’ yang sepatutnya ditawarkan jawatan tetap pada Oktober lalu, namun hanya 600 individu akhirnya diserap. – UTUSAN










