KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempercepat dan mempermudah proses kelulusan lesen bagi aktiviti berkaitan industri bahan api penerbangan mampan (SAF) bagi menarik lebih ramai pelabur asing ke Malaysia.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, inisiatif itu dilaksanakan selaras usaha kerajaan memacu pembangunan hab SAF negara serta meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap ekosistem industri SAF tempatan.
“Kerajaan memudahkan kelulusan lesen pembinaan loji, pengeluaran dan pengeksportan SAF untuk memudahkan pemain industri beroperasi di Malaysia.
“Langkah ini memberi isyarat sokongan penuh kepada pelabur yang ingin berkecimpung dalam sektor ini,” katanya bagi menjawab pertanyaan Senator Che Alias Hamid mengenai usaha kerajaan menarik pelabur asing selain insentif cukai di Dewan Negara hari ini.
Menurutnya, kerajaan turut memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia dengan akses kepada bahan mentah seperti minyak masak terpakai (UCO), minyak daripada efluen kilang sawit dan biojisim sawit lain.
Katanya, kerajaan juga turut meningkatkan kesedaran pengumpulan UCO dalam kalangan rakyat dan sedang mengkaji mekanisme untuk menjamin kelestarian bahan mentah bagi penghasilan SAF.
Katanya, kerajaan memainkan peranan proaktif sebagai penghubung strategik antara pelabur asing dengan pemain industri tempatan melalui kerangka Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Ini termasuk penyelarasan kolaborasi teknikal dan infrastruktur serta menjamin kelangsungan rantaian bekalan bahan mentah, sekali gus mewujudkan ekosistem pelaburan yang kondusif dan berdaya saing tinggi.-UTUSAN











