Kerajaan perlu kenal pasti terma ART ditolak Indonesia

Kerajaan perlu kenal pasti terma ART ditolak Indonesia

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa segera mengenal pasti terma-terma yang dianggap Indonesia sebagai bermasalah, mengikat atau berat sebelah dan mendedahkan kepada rakyat dalam perjanjian negara itu dengan Amerika Syarikat (AS).

Langkah itu bertujuan mengenal pasti adakah terma-terma yang ditolak Indonesia itu turut terkandung dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang ditandatangani antara Malaysia dan AS.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Perikatan Nasional (PN) menuntut kerajaan menilai, mengkaji implikasi dan mempertimbangkan rundingan semula sekiranya terma-terma tersebut boleh menjejaskan ruang dasar, kedaulatan ekonomi atau kepentingan industri negara pada jangka masa panjang.

“Kerajaan perlu menjelaskan secara telus kepada rakyat, apakah harga yang perlu dibayar untuk menjadi good actor di mata Washington seperti dilaporkan Reuters?

“Di mana letaknya keutamaan dan kepentingan negara ketika keputusan itu dibuat?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, sejak awal, beliau telah menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa terma terutama melibatkan artikel 3.3 dan 5.1 dalam rundingan ITU khususnya berkaitan implikasi terhadap aspek kedaulatan dan kesan jangka panjang kepada negara.

“Kebimbangan ini telah saya suarakan secara tegas melalui siri kenyataan media, sidang akhbar, rapat umum dan sesi perbahasan di Parlimen.

“Teguran serupa turut dilaungkan ramai Ahli-Ahli Parlimen PN yang lain. Ertinya, PN dari awal melihat ada sesuatu yang tidak kena dengan perjanjian ini,” katanya.

Menurut beliau, laporan Reuters bahawa Indonesia menolak persetujuan awal beberapa terma perjanjian dengan AS kerana dianggap terlalu mengikat dan berpotensi menjejaskan kepentingan serta kedaulatan negara membuktikan kebimbangan PN berasas.

“Namun, ketika Indonesia mengambil pendirian menilai kembali beberapa terma perjanjian, kerajaan dalam kenyataan pada Rabu lalu sebaliknya menolak desakan agar rundingan semula dilakukan dengan AS.

“Ia walaupun jelas beberapa terma perjanjian bukan sahaja mengikat Malaysia tetapi turut meletakkan kedaulatan negara menjadi persoalan,” katanya.

Hamzah berkata, sebagai negara jiran dan rakan strategik, pendirian Indonesia wajar dijadikan indikator penting bagi menilai bagaimana negara-negara ASEAN melihat impak sebenar perjanjian ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN