Kerajaan perkasa pendidikan tahfiz melalui SPTM - Utusan Malaysia

Kerajaan perkasa pendidikan tahfiz melalui SPTM

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) melakukan gimik pelancaran Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) pada Himpunan Huffaz 2025 dan Simfoni Dakwah Nusantara di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Kerajaan terus memperkukuh agenda pemerkasaan institusi pendidikan Islam di negara ini apabila melancarkan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembangunan SPTM mencerminkan komitmen kerajaan dalam memartabatkan pendidikan tahfiz agar lebih tersusun, berstandard dan berkualiti,

Katanya, ia dibangunkan secara kolaboratif bersama kerajaan negeri, kementerian, agensi Persekutuan, panel pakar dan persatuan tahfiz.

“Matlamat SPTM adalah untuk memperkasa kualiti pendidikan tahfiz dan menjadi mekanisme pengiktirafan kepada huffaz dan institusi tahfiz.

“Pelaksanaan SPTM akan dibuat secara berperingkat mulai tahun 2026,” katanya ketika berucap pada Himpunan Huffaz 2025 dan Simponi Dakwah Nusantara ‘Warisan Qurani, Membina Generasi Rabbani’ di Masjid Tuminah Hamidi, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Majlis tersebut menghimpunkan lebih 25,000 penggiat al-Quran terdiri daripada pelajar dan guru tahfiz, pendakwah serta pengunjung dari seluruh negara dan rantau Nusantara.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), sebagai galakan kepada budaya kecemerlangan, kerajaan mencadangkan agar 10 institusi tahfiz terbaik yang mencapai prestasi cemerlang berdasarkan kriteria SPTM diberikan insentif RM50,000 setiap satu.

Katanya, peruntukan yang disediakan oleh Jakim itu akan disalurkan mulai tahun hadapan.

“Saya mahu bukan sekadar lima institusi tahfiz, tapi kita tambah 10 institusi tahfiz yang terbaik untuk diberikan insentif berkenaan.

“Ini bukan sekadar angka mahupun wang ringgit, sebaliknya menjadi suntikan motivasi agar institusi tahfiz terus meningkatkan kualiti dan amalan terbaik.

“Institusi cemerlang wajar diketengahkan sebagai Model Institusi Tahfiz Malaysia seterusnya mengangkat Malaysia sebagai rujukan antarabangsa,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN