PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil 12 saksi bagi membantu siasatan berhubung projek kerjasama strategik semikonduktor bernilai RM1.11 bilion antara Kerajaan Malaysia dan Arm Ltd. dari United Kingdom (UK) yang dikaitkan dengan seorang bekas menteri Kabinet.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, antara yang dipanggil termasuk bekas menteri dan pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Ekonomi, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta beberapa agensi lain berkaitan.
Katanya, siasatan dijalankan berdasarkan aduan diterima SPRM, dengan tumpuan terhadap kemungkinan wujud unsur salah guna kuasa, penipuan dan isu tadbir urus dalam pelaksanaan projek berkenaan.
“Dokumen penting diperoleh daripada agensi dan kementerian berkaitan, termasuk kertas pembentangan kepada Kabinet berhubung perkara ini. Saksi-saksi lain juga sedang dipanggil bagi membantu siasatan.
“Ada yang (dipanggil) melibatkan bekas menteri dan juga pegawai-pegawai kanan daripada kementerian berkenaan seperti Ketua Setiausaha, Setiausaha Bahagian dan lain-lain.
“Saya tidak mahu sebut (nama bekas menteri). Ada daripada bekas menteri yang telah dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Beliau turut memaklumkan SPRM sedang mengesan seorang saksi, iaitu James Chai, yang dipercayai bekas pembantu kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bagi memintanya kembali ke negara ini.
“Saksi itu kini dilaporkan berada di luar negara dan bekerja di syarikat yang berpangkalan di UK itu. Kita telah menggunakan pelbagai cara untuk memanggil beliau balik ke sini untuk dirakam percakapan,” katanya.
SPRM tidak akan membenarkan mana-mana pihak memanipulasi isu berkenaan, dan memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara adil dan profesional.
SPRM sebelum ini mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung satu perjanjian mega antara kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.
Susulan itu, Rafizi memaklumkan sedia berdepan sebarang siasatan berhubung dakwaan salah laku dan rasuah membabitkan dua dasar utama kerajaan ketika beliau menerajui Kementerian Ekonomi.
Dalam perkembangan lain, Azam berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan bagi menyiasat isu tawaran pengambilan saham oleh Sunway Berhad ke atas IJM Corporation Berhad (IJM), yang kini dalam proses rundingan.
Katanya, SPRM sedang melihat sama ada tawaran pengambilan saham itu wujud elemen rasuah, salah guna kuasa dan pelanggaran tatakelola.
“Di sini menjadi satu persoalan kepada kami kerana ia melibatkan wang rakyat. Kita akan tengok adakah berlaku sebarang jenayah, ketirisan atau pelanggaran tatakelola,” katanya.
Mengenai kertas siasatan membabitkan kes berkaitan pengurusan sisa elektronik (e-waste) pula, Azam berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan.
Katanya, kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mendakwa tiga individu termasuk Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Timbalan
Ketua Pengarah dan bekas pegawai kanan jabatan itu yang keputusannya dijangka diketahui minggu depan.
Berhubung Op Middleman pula, Azam berkata, setakat ini, pihaknya telah menyita aset dan membekukan akaun bernilai keseluruhan RM7.7 juta membabitkan wang tunai, kenderaan mewah, barang kemas dan pembekuan akaun bank milik individu dan syarikat.
Katanya, antara disita termasuk 25 buah kenderaan mewah bernilai RM2.5 juta, barang kemas kira-kira RM40,000, 27 telefon bimbit dan 41 unit walkie-talkie yang digunakan untuk aktiviti berkenaan.
“Kami turut membekukan 59 akaun individu dan syarikat berjumlah RM4.7 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket berkenaan.
“Pada masa sama, kami turut mengesan transaksi rasuah berjumlah RM12.48 juta bagi tempoh antara 2021 hingga 2025,” katanya.
Katanya, Ops Middleman dilaksanakan SPRM dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu turut menahan 18 individu bagi membantu siasatan termasuk empat pegawai JPJ, empat anggota polis trafik, dua pemilik syarikat, tujuh tonto serta seorang individu awam yang dipercayai bertindak sebagai pemilik akaun keldai.
Azam turut memaklumkan SPRM telah membuka dua kertas siasatan susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 terhadap Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dua kertas siasatan itu termasuk bagi menyiasat isu tatakelola dan ketidakaturan pengurusan kewangan.
“Siasatan memfokuskan kepada isu program pengambilan pelajar melalui koperasi tanpa dikesan tidak mendapat kelulusan ahli lembaga pengarah dan isu tuntutan palsu oleh ejen pengambilan pelajar.
“Buat masa ini, kita belum memanggil mana-mana individu bagi bantu siasatan,” katanya.
Hasil penelitian mendapati kedua-dua isu itu dilaporkan berlaku kira-kira empat tahun lalu. Sebelum ini LKAN 1/2026 mendedahkan berlaku ketidakaturan serius dalam pengurusan kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di UKM bagi tahun kewangan 2024. – UTUSAN









