PETALING JAYA: Hakim Mahkamah Tinggi telah membuat interpretasi terhadap keabsahan dekri tambahan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas menolak rayuan bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghabiskan baki tahanan di rumah.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam berkata, isu berbangkit adalah sama ada Yang di-Pertuan Agong untuk Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dan Raja-Raja untuk Lembaga Pengampunan Negeri tertakluk kepada sekatan dan had kuasa atas perkara belas ehsan mereka apabila menjalankan kuasa-kuasa pengampunan terhadap banduan atau pesalah.
Katanya, Perlembagaan telah memperuntukkan kuasa tersebut dan peruntukan hendaklah dibaca bersama dengan semangat kuasa terakhir sedemikian diperuntukkan kepada Raja.
“Keputusan Mahkamah Tinggi boleh dirayukan ke Mahkamah Rayuan sehingga peringkat Mahkamah Persekutuan.
“Penghujahan sama ada sesuatu dekri itu tertakluk kepada pengesahan daripada Lembaga Pengampunan boleh dibuat di peringkat rayuan berpandukan penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi sama ada wajar diberikan tafsiran yang berlainan oleh Mahkamah Rayuan.
“Oleh itu, terpulang kepada Najib sama ada ingin mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu supaya isu decree tambahan berkenaan dapat dihujahkan di hadapan panel Hakim Mahkamah Rayuan kelak,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Yaacob berkata, isu undang-undang tersebut penting untuk dijadikan panduan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja dalam perkara kuasa pengampunan diraja kerana ia mempunyai unsur kepentingan awam yang mustahak diputuskan secara muktamad.
Menurutnya, dekri tambahan ini dibuat selepas tamat mesyuarat Lembaga Pengampunan dan Makhkamah Tinggi berpendapat dekri sedemikian tidak sah.
Beliau berkata, pihaknya pernah terlibat menyediakan kertas-kertas Lembaga Pengampunan di seluruh negara semasa menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara pada 2006 hingga 2008.
Katanya, tugas Peguam Negara hanya memberikan pendapat dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Walaupun ada pendapat diberikan ianya terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong jika ingin mengikuti pendapat tersebut di mana Yang di-Pertuan Agong mungkin mempunyai pandangan yang berlainan dari pendapat diberikan dalam menjalankan kuasa belas ehsan Baginda terhadap banduan atau pesalah.
“Maka itu Yang di-Pertuan Agong tidak terikat secara rigid terhadap pendapat yang diberikan semasa mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut.
Tambah Yaacob, Akta Penjara mempunyai peruntukan mana-mana banduan yang menjalani hukuman boleh ditempatkan di mana-mana tempat tahanan (place of custody) yang wartakan oleh Menteri Dalam Negeri sebagai “place of custody”.
Jelasnya lagi, tempat yang dimaksudkan termasuk bangunan atau rumah. Ketua Pengarah Penjara mempunyai kuasa untuk meletakkan mana-mana banduan di “place of custody” asalkan tempat tersebut diwartakan sebagai “place of custody”.
“Kuasa Ketua Pengarah Penjara tersebut dijalankan secara pentadbiran tertakluk kepada pematuhan Akta Penjara dan peraturan-peraturan di bawahnya serta Prosesur Operasi Standard (SOP) berkaitan mekanisme perlaksanaan tahanan rumah.
“Mekanisme hanya tatacara pentadbiran seperti tempat yang selamat, pergerakan banduan keluar masuk tempat tahanan, pengawalan tempat tahanan dan kawalan terhadap pelawat, ini semua mekanisme.
“Maka, Akta Penjara ada memperuntukkan tahanan rumah cuma mekanisme perlaksanaan tahanan rumah perlu disediakan oleh Ketua Pengarah Penjara,” katanya. – UTUSAN










