PETALING JAYA: Kadar sewa rumah yang meningkat 28 peratus tahun ini memaksa golongan pekerja di Lembah Klang memperuntukkan lebih 30 peratus daripada pendapatan bulanan hanya untuk membayar sewa, sekali gus menjejaskan kemampuan mereka menyara kehidupan di bandar.
Tinjauan Utusan Malaysia di pelbagai platform sewa rumah dalam talian mendapati kos sewa di Kuala Lumpur adalah sekitar RM4,000 sebulan membabitkan kawasan tumpuan seperti Bangsar sementara di kawasan bukan tumpuan pula mencecah RM1,850.
Kawasan lain seperti Puchong, Seri Kembangan, Petaling Jaya dan Bukit Jalil yang secara puratanya untuk menyewa di kawasan tersebut, warga kota perlu membelanjakan melebihi RM2,000 sebulan mengikut jenis rumah.
Bagi golongan bujang di Lembah Klang terutama yang berhijrah dari luar bandar, mereka perlu membelanjakan sekitar RM600 sebulan untuk menyewa bilik kecil dan jika individu itu mahukan ruang privasi, maka perlu membayar sekitar RM1,000.
Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, kenaikan kos sewa sebanyak 28 peratus tahun ini, menimbulkan persoalan kerana ia meningkat lebih tinggi berbanding kadar kenaikan gaji.
“Walaupun kenaikan itu masih terkawal, pekerja bergaji tetap terhimpit dan tidak mampu menyara kehidupan di bandar dan memberikan tekanan kepada golongan muda dan graduan baharu yang berhijrah dari luar bandar yang terpaksa berjimat menyewa di kawasan pinggir bandar dan mengeluarkan kos pengangkutan tambahan,” katanya.
Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) bagi suku tahun kedua 2025 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan median upah bulanan bagi lelaki adalah RM2,900 dan perempuan pula RM2,800.
Sebaliknya berdasarkan indikator Beban Kos Perumahan (HCB), perbelanjaan perumahan ideal tidak seharusnya melebihi 30 peratus daripada pendapatan kasar sekali gus menunjukkan pekerja di Lembah Klang terutama golongan muda perlu menanggung kos sewa tinggi.
Barjoyai berkata, untuk mendapatkan kediaman yang harga sewanya berpatutan, golongan dari luar bandar atau negeri lain dan graduan baharu terpaksa bersaing dengan golongan yang memang sedia ada di ibu kota.
Justeru, beliau mencadangkan kerajaan mencontohi Amerika Syarikat (AS) untuk menyelesaikan isu kediaman dalam jangka masa panjang menerusi skim rumah yang menggunakan kaedah caruman bersama.
Katanya menerusi skim berkenaan, setiap seorang membeli tiket pada harga tertentu dan setiap minggu akan ada cabutan, siapa yang menang akan memperoleh kediaman.
“Di sana, ada sebuah skim rumah yang menggunakan kaedah caruman bersama. Setiap seorang membeli tiket pada harga tertentu dan setiap minggu akan ada cabutan, siapa yang menang akan memperoleh kediaman.
“Kita boleh mengambil konsep sama, tetapi ubah pada kaedah halal, ini mungkin boleh menyelesaikan isu ini.
“Masalah kita bukan sahaja tidak mampu beli rumah tetapi turut tidak mampu mendapat pinjaman bermakna tiada harapan langsung untuk mereka miliki kediaman sendiri,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan (NHRA), Prakash P. Kalivanan berkata, kos sewa di Lembah Klang terlalu tinggi dan tidak sesuai untuk golongan pekerja terutamanya generasi muda.
Sebagai contoh pekerja di kawasan sekitar pusat bandar, kebanyakan menerima gaji yang rendah tetapi kos kediaman di sana sangat mahal untuk mereka sewa.
“Mereka menggunakan sebahagian besar gaji bulanan untuk membayar sewa sahaja.
“Bagi menampung kos yang tinggi itu, ada yang terpaksa berkongsi seramai 10 orang dan berhimpit sesama mereka sedangkan kediaman itu tidaklah sebesar mana,” katanya.
Beliau turut mendedahkan ada pemilik perumahan mengambil kesempatan terhadap situasi tersebut untuk mengaut keuntungan berlebihan.
“Ada rumah yang pada asalnya tiga bilik, tetapi pemilik buat ia menjadi sehingga lapan bilik kecil untuk disewakan kepada individu berlainan. Ini menyalahi undang-undang kerana mengubah struktur rumah itu tanpa kelulusan pihak berkuasa.
“Sebab itu NHAR menuntut kerajaan segera mewujudkan Akta Sewa Rumah segera bagi melindungi golongan penyewa,” katanya. – UTUSAN










