KOTA BHARU: Gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu mengemukakan awal senarai calon termasuk poster boy, jika mahu menang seterusnya menamatkan penguasaan Pas di Kelantan.
Penganalisis politik, Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah berkata, tempoh berbaki tiga tahun sebelum pilihan raya negeri (PRN) merupakan masa kritikal untuk BN-PH membina keyakinan rakyat melalui perancangan strategik yang jelas dan tersusun.
Katanya, ia sekali gus menunjukkan kesediaan BN-PH mentadbir negeri, selain membolehkan strategi jangka panjang dirangka, khususnya untuk menawan sokongan pengundi muda dan golongan perantau yang dilihat masih belum digerakkan secara menyeluruh.
“Setakat ini, belum nampak usaha serius dan berkesan daripada kepemimpinan UMNO Kelantan untuk meyakinkan rakyat negeri ini berbanding Pas.
“Tatakelola komunikasi strategik BN-PH masih lemah dan belum bersedia menghadapi serangan politik Pas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada PRN lalu, Pas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang 42 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, lantas membentuk sebuah kerajaan yang ampuh dengan majoriti dua pertiga.
Ia menyaksikan Pas mengekalkan pentadbiran mereka di Kelantan.
Iskandar Hasan berkata, BN-PH dilihat kurang agresif mengangkat isu rakyat dalam platform terbuka.
Katanya, hanya beberapa tokoh tertentu sahaja yang konsisten membahaskan kelemahan pentadbiran negeri menerusi media sosial.
“BN-PH tidak boleh terus selesa, sebaliknya perlu tampil dengan kepemimpinan alternatif yang diyakini rakyat, gerak kerja akar umbi yang agresif.
“Bukan itu sahaja, naratif pembangunan yang jelas diperlukan jika mahu mencabar dominasi Pas di Kelantan,” katanya. – UTUSAN










