Keluarga tiga lelaki ditembak mahu polis terlibat ditahan - Utusan Malaysia

Keluarga tiga lelaki ditembak mahu polis terlibat ditahan

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keluarga tiga lelaki yang ditembak mati di Durian Tunggal, Melaka bulan lalu menuntut pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam kejadian itu diambil tindakan secepat mungkin.

Ini memandangkan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Peguam Rajesh Nagarajan berkata, terdapat beberapa bukti yang menyokong termasuk rakaman audio kejadian, laporan pakar patologi serta gambar-gambar berkaitan.

“Justeru, apabila ia dibuka di bawah Seksyen 302 KK, ahli keluarga sangat berpuas hati dan mengalu-alukan siasatan ini dan berharap tangkapan dapat dilakukan secepat mungkin.

“Selain itu, kita menuntut Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) mendedahkan dan memberikan perkembangan terkini daripada siasatan dijalankan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Pada 24 November lalu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa menyerang anggota polis menggunakan parang di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

Pada 3 Disember lalu, ahli keluarga si mati menolak dakwaan bahawa ketiga-tiga suspek bertindak ganas dengan menyerang pihak polis.

Susulan itu, JSJ Bukit Aman menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek lelaki yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.

Kejadian tembakan berlaku sekitar pukul 4.30 pagi. Insiden itu turut mengakibatkan seorang anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.

Ketiga-tiga suspek disyaki terlibat dalam 20 kes jenayah di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor dengan jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM1.35 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×