PETALING JAYA: Seorang kelindan lori didenda RM4,000 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki bahan lucah dalam telefon pintar, dua minggu lalu.
Tertuduh, S. Thanaraj mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa.
Mengikut pertuduhan, Thanaraj, 32, didakwa memiliki bahan lucah dalam bentuk gambar dan video dalam telefon jenis Oppo miliknya di sebuah kondominium di Jalan Masjid Bandar Utama pada pukul 12.30 tengah hari pada 23 November 2025.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Leong Hui manakala tertuduh diwakili peguam Datin Raj Preet Kaur.
Raj Preet memohon bayaran denda minimum dengan alasan tertuduh hanya bekerja sebagai kelindan lori dengan gaji sekitar RM50 sehari.
“Tertuduh juga mempunyai ibu yang sedang sakit dan merupakan anak lelaki tunggal yang menyara keluarga,” katanya.
Bagaimanapun, Leong Hui memohon denda setimpal dikenakan terhadap tertuduh.
Mahkamah menetapkan denda berjumlah RM4,000 atau penjara tiga bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut.
Di mahkamah sama, Thanaraj mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperdaya seorang remaja perempuan berusia 15 tahun supaya menyerahkan sebentuk cincin emas, sebuah loket, sepasang subang dan seutas gelang bernilai RM15,000.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah kediaman di Seksyen 11, Kota Damansara pada 26 Oktober 2025.
Thanaraj didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan sehingga 10 tahun serta sebatan dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Leong Hui mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara, namun Raj Preet memohon jumlah dikurangkan dengan alasan penjamin anak guamnya tidak berkemampuan.
Bagi kesalahan itu, mahkamah menetapkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin warganegara serta 3 Februari 2026 bagi serahan dokumen. – UTUSAN










