Kedah tidak berganjak keputusan sekat lesen premis judi

Kedah tidak berganjak keputusan sekat lesen premis judi

MANSOR ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah akan mengadakan perbincangan dengan Penasihat Undang-Undang Negeri untuk proses seterusnya berikutan Mahkamah Rayuan yang menolak keputusan menutup premis perjudian dan loteri di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, pihaknya akan terus menggerakan usaha murni itu dengan memanfaatkan sepenuhnya kerangka dan saluran perundangan yang sedia ada.

“Saya amat kecewa dan terkilan dengan keputusan hasil proses perundangan yang telah menyekat hasrat serta usaha Kerajaan Negeri Kedah untuk mengharamkan sepenuhnya operasi premis perjudian berlesen di negeri ini.

“Keputusan ini jelas tidak mencerminkan aspirasi dan kehendak majoriti rakyat Kedah yang menolak kewujudan aktiviti perjudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mansor berkata, dalam realiti sistem perundangan negara, kerajaan negeri terpaksa akur kepada keputusan yang ditentukan oleh mahkamah, walaupun ia bertentangan dengan pendirian moral dan dasar pentadbiran negeri.

Semalam, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Kerajaan Negeri Kedah untuk tidak memberi serta memperbaharui lesen premis perjudian dan loteri dengan alasan tindakan sedemikian adalah tidak berperlembagaan.

Dalam keputusan majoriti, Hakim Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Dr. Lim Hock Leng memutuskan rayuan tersebut tidak mempunyai merit.
Bagaimanapun, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi mempunyai pendapat yang berbeza.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi, Alor Setar pada 20 Jun lalu memutuskan tindakan Kerajaan Negeri Kedah menghentikan pembaharuan lesen premis perjudian berkuat kuasa 1 Januari 2023 sebagai ‘tidak sah’ dan ‘tidak munasabah’.

Keputusan itu dibuat susulan enam permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh ejen dan syarikat pertaruhan serta pegawai kanan syarikat terlibat bagi mencabar keputusan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN