ALOR SETAR: Rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa langsung tidak memulihkan kepercayaan rakyat, bahkan mengesahkan lagi kerosakan pemerintahan dan pentadbiran kerajaan.
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya berkata, rakyat ingin melihat wacana reformasi yang sering kali diulang-ulang itu diterjemahkan dalam rombakan barisan Kabinet sedia ada kerana ia peluang kedua untuk kerajaan memastikan hal itu terjadi.

Katanya, hasrat itu juga timbul setelah melihat pelbagai isu dan dasar yang diketengahkan oleh kementerian-kementerian tertentu tidak mencapai piawaian sebenar daripada rakyat.
“Namun, pasca rombakan Kabinet langsung tidak memulihkan kepercayaan rakyat, bahkan mengesahkan lagi kebobrokan pemerintahan dan pentadbiran Kerajaan Madani.
“Kementerian Kewangan yang seharusnya dipisahkan daripada jawatan Perdana Menteri kerana pemusatan kuasa yang tinggi masih kekal individu yang sama. Bukankah ini janji manis yang disebut-sebut suatu masa dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kementerian-kementerian kontroversi seperti Pendidikan, Pelancongan, Kerajaan Tempatan serta Pengangkutan yang seharusnya menjadi tonggak rombakan kali ini juga sebaliknya dikekalkan.
“Bahkan pemberian kementerian yang ‘signifikan’ dan mewajahkan pemerintahan bagi satu negeri kepada DAP, sedangkan individu tersebut juga mempunyai latar belakang yang kontroversi.
“Rakyat juga hendak lihat bagaimana Perdana Menteri akan bertegas terhadap satu demi satu tuntutan kontroversi yang dicetuskan oleh pemimpin DAP khususnya selepas mereka kalah teruk di Sabah, baru-baru ini,” katanya.
Namun kata beliau, Anwar sebaliknya kelihatan lunak dan cenderung untuk memujuk DAP dengan menambah kerusi kementerian kepada mereka, berbanding memberikan amaran keras.
“Ini seolah-olah mahu membuka peluang kepada DAP untuk menjalankan kuasa seluas-luasnya. Jadi, adakah rombakan Kabinet ini semua agenda reformasi? Sudah tentu jawapannya tidak. Bahkan ia adalah penanda bahawa agenda reformasi telah ‘checkmate’,” katanya. – UTUSAN










