GEORGE TOWN : Barisan Jemaah Menteri yang baru dibentuk diharapkan dapat memberi tumpuan kepada keupayaan penyampaian dasar serta pelaksanaan agenda ekonomi rakyat agar manfaat pembangunan benar-benar dapat dirasai oleh rakyat.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pembentukan Kabinet ketika ini dilihat mengambil kira keperluan untuk mencapai matlamat pentadbiran menjelang hujung penggal, khususnya dalam menguruskan ekonomi Madani dan memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Matlamat utama yang saya mahu lihat ialah supaya barisan Kabinet baharu ini mampu melaksanakan agenda kementerian masing-masing, menguruskan ekonomi dengan baik serta memastikan rakyat biasa menerima impak positif daripada pembangunan dan bantuan kebajikan.
“Pada peringkat ini, apa yang paling penting ialah ekonomi sara hidup kerana di sinilah impak terbesar dapat dirasai rakyat jika kehidupan dan sumber rezeki mereka dapat diurus serta dilindungi dengan baik,” katanya pada majlis memeterai perjanjian francais eksklusif antara Entopia by Penang Butterfly Farm bersama DEMED Group Turkiye, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang menyaksikan 28 menteri dan timbalan menteri yang merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut menyambut baik pelantikan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin sebagai Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Sebagai sebuah negeri perindustrian, Pulau Pinang mempunyai banyak urusan dengan MITI. Jadi, saya berharap agar beliau (Tze Tzin) bukan sahaja dapat memainkan peranannya di peringkat kebangsaan, malah, dapat memberi perhatian khusus kepada Pulau Pinang dalam menangani isu pelaburan, perdagangan dan perkara berkaitan,” katanya.
Mengulas mengenai pelantikan Steven Sim Chee Keong sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pula, Kon Yeow berkata, langkah itu amat signifikan memandangkan peranan sektor perusahaan dan usahawan kecil dan sederhana (PKS) kini semakin penting dalam landskap ekonomi negara.
“Beliau (Steven) sebelum ini bekerja keras memperjuangkan isu pekerja ketika menerajui Kementerian Sumber Manusia. Kini, peralihan ke kementerian yang memfokuskan pembangunan usahawan dan perusahaan dilihat amat bermakna dalam usaha memperkukuh ekonomi negara.
“Oleh itu, saya yakin kegigihan dan prestasi yang ditunjukkan sebelum ini dapat diteruskan untuk memperkasa PKS dan sektor berkaitan,” ujarnya.-UTUSAN










