PETALING JAYA: Seramai 11,876 mangsa banjir daripada 3,884 keluarga direkodkan di 101 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri setakat pukul 3.10 petang hari ini.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), antara negeri terbabit ialah Pahang, Terengganu, Johor, Kelantan, Selangor dan Sarawak.
Pahang masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 10,740 orang melibatkan 3,566 keluarga yang kini ditempatkan di 78 PPS.
Daerah yang terjejas termasuk Kuantan, Pekan, Rompin, Maran dan Jerantut.
Terengganu pula mencatatkan 593 mangsa dipindahkan ke 15 PPS di tiga daerah terlibat, sementara Johor merekodkan 356 mangsa daripada 93 keluarga di tiga PPS.
Sementara itu, Selangor mencatatkan 47 mangsa, manakala Kelantan menunjukkan peningkatan sehingga 100 orang melibatkan 25 keluarga dengan masing-masing membabitkan satu daerah terjejas dan sebuah PPS dibuka.
Sarawak masih berada pada tahap yang sama dengan merekodkan satu daerah terjejas melibatkan 18 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di dua PPS di Miri. – UTUSAN










