KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama rakan pelaksana industri, Chamrun Digital, telah berjaya menamatkan Program Kepimpinan AI & Digital.
Ia merupkan satu inisiatif strategik bagi memperkukuh keupayaan perkhidmatan awam dalam mereka bentuk dan melaksanakan penyelesaian kecerdasan buatan (AI) yang praktikal merentasi operasi kerajaan.
Program intensif selama 21 minggu itu, yang disokong oleh National Human Resources Development Institute (NHI) Korea dan Seoul National University (SNU), telah diterajui dan dilaksanakan sepenuhnya oleh Chamrun Digital.
Ia memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan sebenar pemimpin sektor awam dalam mereka bentuk, mentadbir dan mengoperasikan penyelesaian Kecerdasan Buatan Agentic dalam persekitaran kementerian yang sebenar.
Inisiatif berkenaan mencerminkan pendekatan strategik JPA dalam membangunkan keupayaan AI sektor awam dengan melangkaui latihan berbentuk teori, sebaliknya menekankan hasil yang praktikal, boleh diukur dan bersedia untuk dilaksanakan.

Sehubungan itu, Chamrun Digital dilantik sebagai rakan pelaksana industri yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap reka bentuk dan penyampaian program bagi memastikan impak sebenar kepada operasi kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Chamrun Digital, Dr. Behrang Parhizkar berkata, program tersebut membuktikan tahap kesiapsiagaan sektor awam untuk mengguna pakai teknologi Agentic AI secara berskala dan berstruktur.
“Di bawah kepimpinan JPA, penyelesaian Agentic AI yang dibangunkan oleh para peserta telah melangkaui fasa eksperimen kepada aplikasi sebenar.
“Penyelesaian ini berpotensi mengurangkan beban kerja operasi, mempermudah proses kompleks serta membolehkan kementerian berinovasi secara lebih proaktif dan berkesan,” katanya.
Seramai 22 pemimpin kerajaan yang dipilih oleh JPA telah menjalani latihan intensif merangkumi penggunaan teknologi AI lanjutan, pembangunan dasar, tadbir urus serta penyelesaian masalah secara aplikasi.
Sepanjang program, para peserta dikehendaki mereka bentuk, membina dan mengesahkan prototaip Agentic AI yang berfungsi, disesuaikan dengan cabaran dan keperluan khusus kementerian masing-masing.
Setiap peserta turut menyiapkan satu projek menyeluruh yang merangkumi pernyataan masalah yang jelas, cadangan dasar serta prototaip Agentic AI yang berfungsi.

Projek-projek tersebut menunjukkan potensi besar dalam mengautomasi proses kerajaan yang berulang dan kompleks, sekali gus menjimatkan masa kerja yang signifikan.
Antara aplikasi yang dikenal pasti termasuk pengukuhan ramalan dan perancangan keselamatan makanan, pengesanan penipuan dan scam dalam talian yang menjejaskan rakyat, pengurusan pertanyaan awam berskala besar dengan lebih cekap serta pengoptimuman operasi dan pembuatan keputusan kementerian.
Secara keseluruhan, hasil program menyerlahkan peranan Agentic AI sebagai pemangkin peningkatan produktiviti, ketepatan dan inovasi dalam perkhidmatan awam.
Dengan mengintegrasikan pendekatan pelaksanaan berteraskan industri dalam rangka pembangunan kepimpinan, JPA telah memposisikan dirinya sebagai pemacu utama pembangunan rantaian bakat AI sektor awam negara.
Pendekatan ini memastikan keupayaan AI yang dibangunkan kekal sejajar dengan nilai perkhidmatan awam, prinsip kebertanggungjawaban serta objektif nasional, di samping bersifat praktikal, berskala dan bersedia untuk dilaksanakan.
Kerjasama ini turut dilihat sebagai penanda aras kerjasama kerajaan–industri–akademia dalam membina kapasiti inovasi AI yang mampan bagi kerajaan Malaysia. – UTUSAN










