Jika badan kurus, artis pula dituduh ambil bahan terlarang - Shahz Jaszle - Utusan Malaysia

Jika badan kurus, artis pula dituduh ambil bahan terlarang – Shahz Jaszle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKON popular, Shahz Jaszle, tidak menolak realiti industri hiburan di Malaysia masih meletakkan penampilan fizikal sebagai keutamaan, sehingga wajah dan bentuk badan sering dinilai terlebih dahulu sebelum bakat lakonan diberi perhatian.

Menurut Shahz, hakikat tersebut bukan sekadar persepsi, sebaliknya pengalaman peribadi yang telah lama dilaluinya sepanjang hampir dua dekad bergelar anak seni. 

Katanya, dalam kebanyakan keadaan, fizikal menjadi ‘tapisan awal’ sebelum produksi mempertimbangkan aspek lain termasuk kesesuaian watak dan kemampuan lakonan.

“Realitinya, dalam industri hiburan di Malaysia, orang tengok muka dulu. Itu yang pertama. Bukan bakat, bukan watak, tapi rupa.

“Saya sendiri pernah melalui fasa di mana berat badan naik, dan secara automatik tawaran lakonan berkurang. Soalan pertama yang produksi tanya bukan jadual saya, tetapi saya gemuk atau kurus. 

“Itu menyakitkan, sebab sebagai pelakon, kita nak orang nilai kebolehan kita berlakon. Tapi hakikatnya, fizikal masih menjadi penentu utama,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini. 

Pelakon itu menjelaskan, dalam industri tempatan, jarang pelakon diberi peluang membawa watak yang menuntut perubahan fizikal ekstrem seperti menjadi gemuk atau selekeh, berbeza dengan industri luar negara yang lebih meraikan kepelbagaian karakter.

“Di Malaysia, watak hero selalunya perlu nampak kemas, kurus dan segak. Kalau badan berisi sedikit, terus dianggap tak sesuai. 

“Kita jarang dapat watak yang membenarkan pelakon ‘lari’ daripada standard rupa yang sama,” jelasnya.

Shahz berkata, pengalaman paling ketara dirasainya ketika berat badannya meningkat suatu ketika dahulu, apabila tawaran watak hero dan watak utama mula berkurangan sehingga dia hanya ditawarkan watak sampingan.

“Waktu itu, saya sedar betapa besarnya pengaruh fizikal dalam industri ini. Saya tak lagi dapat watak hero, malah watak kelas kedua pun susah. Yang datang hanyalah watak abang-abang atau watak sampingan,” katanya.

Menurutnya, pengalaman tersebut membuka mata tentang realiti sebenar industri, sekali gus membuatkan dia kembali memberi fokus terhadap penjagaan badan demi kelangsungan kerjaya.

Namun, usaha mengekalkan bentuk badan ideal bukan sesuatu yang mudah. 

Shahz mengakui diet dan gaya hidup sihat memerlukan disiplin tinggi, pengorbanan besar serta kos yang bukan sedikit.

“Diet ini sangat meletihkan. Kita kena kawal minyak, kawal gula, sedangkan orang sekeliling bebas makan. Tambah pula bila dikelilingi ahli keluarga yang boleh makan apa sahaja tanpa naik berat badan,” katanya.

Lebih mencabar, katanya, kebanyakan kos penjagaan badan terpaksa ditanggung sendiri oleh pelakon kerana produksi jarang menyediakan bajet khas untuk persediaan fizikal.

Ia terutamanya bagi drama bersiri yang jadualnya singkat dan tidak dirancang lebih awal.

“Makanan diet mahal. Beras perang mahal, ikan mahal, buah-buahan tertentu pun mahal. 

“Untuk sebulan, kos makanan sahaja boleh mencecah lebih RM1,000, malah ada yang sampai lebih RM2,000,” katanya.

Shahz turut mendedahkan bahawa usaha untuk kekal kurus juga sering disalah tafsir oleh masyarakat. 

Apabila pelakon menjadi terlalu kurus, katanya, timbul pula tuduhan mengambil bahan terlarang, sedangkan hakikatnya ia hasil diet ketat dan senaman berterusan.

“Bila badan berisi, orang kata tak jaga diri. Bila kurus, orang kata ambil dadah. Kita tak boleh puaskan hati semua pihak. Orang luar tak nampak bagaimana kita bergelut belakang tabir. 

“Stereotaip  juga wujud apabila pelakon memiliki tubuh yang terlalu sasa, menyebabkan mereka terperangkap dengan watak-watak tertentu sahaja.

“Kalau badan terlalu ‘sado’, kita mudah dilabel. Orang hanya nampak kita sesuai bawa watak gangster atau watak keras. Nak jadi pelakon versatil jadi susah,” jelasnya.

Dalam masa sama, Shahz berharap masyarakat lebih berhati-hati dalam memberikan komen, khususnya apabila melibatkan perubahan fizikal seseorang artis.

“Ini kerana di sebalik perubahan itu ada tekanan kerja, kos ubat diet, kos makanan dan komitmen yang tinggi. Jangan mudah menghukum tanpa tahu apa yang kami lalui. 

“Kami dibayar ikut kerja. Ada kerja, ada pendapatan. Jadi bila ada rezeki, duit itu perlu dibahagikan untuk rumah, keluarga dan juga kos jaga badan,” katanya.

Sementara itu, Shahz berharap wujud perubahan minda dalam kalangan penerbit dan penonton agar bakat dan kualiti lakonan diberi penilaian setimpal dengan penampilan.

“Penampilan memang penting, saya akui. Tapi saya harap industri kita akan lebih matang dan seimbang. Berilah peluang kepada pelakon dinilai berdasarkan bakat dan kemampuan membawa watak, bukan rupa semata-mata,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN