PETALING JAYA: Penularan produk penyegar udara keluaran Jepun sewaktu penganjuran konsert Kasih Kekasih 25 Tahun Inteam September lepas membuka pintu kerjasama antara syarikat pengeluar produk berkenaan dengan kumpulan nasyid tersohor itu.
Ahli Inteam, Syahril Khalid, 45, menyifatkan kolaborasi tersebut sebagai satu lagi pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa.
“Kami bersyukur kepada Allah S.W.T dan berbesar hati apabila syarikat Earth Home Products Malaysia sudi bekerjasama dengan Inteam.
“Diharapkan kolaborasi ini berjalan lancar, bukan sekadar mempromosikan lagu-lagu Inteam, malah lirik lagu kami diharapkan dimanfaatkan dengan produk ini yang sejajar matlamat kami,” katanya sewaktu sesi menandatangani perjanjian di Phileo Damansara, baru-baru ini.
Menerusi kerjasama itu, semburan penyegar udara Oasis Air Fragrance Pink Blossom juga bakal menjadi wangian eksklusif yang digunakan sempena konsert Inteam di Axiata Arena, Bukit Jalil Februari depan.
Terdahulu, jualan semburan Oasis Air Fragrance Pink Blossom melonjak, sekali gus mengakibatkan stok produk berkenaan kehabisan selepas penggunaannya pada konsert Inteam yang lalu, tular.
“Kami tidak menyangka semburan berkenaan habis terjual selepas digunakan semasa konsert September lalu.
“Bertitik tolak selepas itu, pihak Earth Home Products Malaysia menghubungi kami bagi menyatakan hasrat bekerjasama.
“Inteam terbuka untuk berkolaborasi kerana konsep produk ini bertepatan dengan lagu-lagu kami yang bersifat kekeluargaan,” kata Hazamin Harun.

Sementara itu, Pengarah Urusan Earth Home Malaysia, Okada Shotaro mengakui terkejut selepas mengetahui impak jualan produk penyegar udara berkenaan yang memuncak selepas menjadi tular September lepas.
“Pihak kami terkejut dengan peningkatan jualan produk semburan penyegar udara berkenaan yang berlaku mendadak sehingga kehabisan stok. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Konsep dan idea produk kami sejajar dengan matlamat Inteam. Disebabkan itu kami tidak teragak-agak untuk menjalinkan kerjasama dengan mereka,” jelasnya.
Dalam masa sama, Okada memaklumkan tertarik dengan lagu Setanggi Syurga yang disifatkannya, menenangkan.
“Saya sebelum ini tidak mengenali Inteam, apatah lagi mendengar lagu-lagu mereka. Sebagai orang Jepun, lazimnya saya mengikuti muzik dari tanah kelahiran saya.
“Selepas diperkenalkan kepada Inteam, saya berpeluang mendengar lagu Setanggi Syurga. Saya tidak memahami liriknya, namun memainkan lagu itu di rumah dan mendengarnya sebelum tidur. Saya akui, lagu Inteam mencuri hati saya,” kongsinya. – UTUSAN










