Inflasi dijangka meningkat kepada 1.8% pada 2026 - Utusan Malaysia

Inflasi dijangka meningkat kepada 1.8% pada 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inflasi Malaysia diunjur meningkat kepada 1.8 peratus pada tahun depan, menghampiri paras tertinggi dalam julat rasmi 1.3 hingga 2.0 peratus, menurut RHB Investment Bank Bhd. (RHB IB).

Bank pelaburan itu berkata, walaupun terdapat peningkatan sederhana, inflasi dijangka kekal terkawal, di bawah purata jangka panjang 2.0 peratus, disokong oleh pelaksanaan dasar yang teratur dan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.

“Harga komoditi global yang lebih rendah juga akan membantu mengekalkan kos domestik yang sederhana,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut RHB IB, secara keseluruhan, kesan pembaharuan dasar yang diumumkan dan akan datang terhadap inflasi berkemungkinan akan terkawal, menyokong pendirian dasar monetari yang stabil pada tahun hadapan.

Bagi 2025, RHB IB berpendapat inflasi berkemungkinan akan berada pada purata 1.4 peratus, hampir paras terendah dalam julat unjuran rasmi yang disemak semula iaitu 1.0 hingga 2.0 peratus..

Isnin lalu, Jabatan Perangkaan mengumumkan inflasi Malaysia meningkat 1.4 peratus tahun ke tahun pada November 2025, dengan indeks harga pengguna pada 135.1 mata berbanding 133.3 pada tempoh sama tahun lalu.

Menurut MBSB Research, bacaan tersebut berada dalam jangkaan firma penyelidikan itu tetapi sedikit lebih rendah daripada konsensus pasaran sebanyak 1.5 peratus.

Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan inflasi kebelakangan ini sebahagiannya dipengaruhi oleh langkah dasar seperti peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelarasan harga petrol RON95 bersubsidi.

Namun, kesan inflasi daripada perubahan dasar tersebut didapati lebih sederhana daripada jangkaan awal.

“Pertumbuhan harga kekal sederhana merentasi kategori makanan, bukan makanan dan inflasi teras.

“Tambahan pula, harga minyak mentah yang lebih rendah berbanding tahun lalu membantu mengehadkan peningkatan kos yang lebih meluas,” katanya.

Firma itu menjangkakan inflasi Malaysia akan terus meningkat secara sederhana sepanjang suku pertama 2026, dipacu oleh gabungan faktor permintaan dan penawaran domestik, termasuk perbelanjaan pengguna yang disokong oleh dasar fiskal kerajaan serta kesan dasar monetari longgar sebelum ini.

“Namun, risiko cuaca buruk yang menjejaskan pengeluaran pertanian tempatan berpotensi meningkatkan inflasi makanan domestik dalam tempoh terdekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN