PETALING JAYA: Indeks Sentimen Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi separuh kedua 2025 menunjukkan momentum ekonomi yang lebih kukuh dengan peningkatan tahap keyakinan perniagaan di seluruh negara, menurut tinjauan terbaharu oleh Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd. (SME Bank).
SME Bank dalam kenyataannya berkata, Indeks Sentimen keseluruhan meningkat kepada 56.8 mata berbanding 55.1 mata pada separuh pertama 2025, mencerminkan jangkaan yang lebih positif terhadap keadaan ekonomi, prospek jualan, aktiviti pengembangan serta peluang pekerjaan dalam kalangan PMKS.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain berkata, peningkatan indeks itu membuktikan daya tahan PMKS Malaysia yang terus kukuh meskipun berdepan tekanan luaran termasuk tarif import yang lebih tinggi, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelarasan kos elektrik.
Menurut beliau, tahap optimisme paling kukuh direkodkan dalam sektor pembuatan apabila 89 peratus perniagaan menjangkakan pertumbuhan, sejajar dengan peningkatan permintaan dan aktiviti pelaburan.
“Sebanyak 68 peratus responden menjangkakan jualan yang lebih tinggi, manakala 53 peratus merancang untuk memperluas tenaga kerja, mencerminkan persekitaran operasi yang semakin positif.
“Trend ini menunjukkan PMKS sedang bersiap sedia untuk menghadapi peningkatan permintaan pasaran. SME Bank akan terus menyokong PMKS bagi memperkukuh kedudukan kewangan, meningkatkan produktiviti dan daya saing selaras dengan agenda pertumbuhan ekonomi mampan negara,” katanya dalam kenyataan.
Sorotan tinjauan turut menunjukkan sektor-sektor yang mencatat jangkaan pertumbuhan optimum sejajar dengan objektif strategik nasional, manakala pelan pengembangan perniagaan dijangka terus mengukuhkan prospek jualan dalam tempoh terdekat.
Namun begitu, kos operasi kekal tinggi susulan pelaksanaan pelarasan dasar, mendorong PMKS untuk mempergiat kawalan kos serta langkah kecekapan.
Dalam masa sama, penggunaan teknologi digital terus menyokong peningkatan prestasi perniagaan melalui peningkatan produktiviti dan daya saing.
Sementara itu, Ketua Analisis Ekonomi SME Bank, Mazlina Abdul Rahman berkata, tinjauan tersebut memberi gambaran jelas mengenai landskap risiko yang semakin berkembang, dengan perbezaan ketara dari segi sentimen mengikut saiz perniagaan.
“Sebanyak 58 peratus perusahaan menjangkakan ekonomi akan berkembang, dengan perusahaan mikro paling optimistik pada 65 peratus. Namun, hanya 44 peratus firma bersaiz sederhana menjangkakan pertumbuhan, mencerminkan kesan peningkatan kos dan ketidaktentuan faktor luaran,” katanya.
Beliau berkata, aliran tunai PMKS menunjukkan penambahbaikan apabila peratusan perusahaan yang mempunyai rizab tunai kurang daripada enam bulan menurun kepada 31 peratus daripada 34 peratus sebelum ini.
“Dalam masa sama, peratusan PMKS yang mempunyai rizab tunai melebihi tiga tahun meningkat kepada 15 peratus, namun perusahaan mikro kekal paling terdedah berikutan kekangan aliran tunai.
“Permintaan pembiayaan kekal tinggi, dengan 81 peratus responden merancang mendapatkan pembiayaan bagi modal kerja atau pengembangan perniagaan,” katanya.
Mazlina berkata, hasil tinjauan itu membolehkan SME Bank melaksanakan penilaian risiko dengan lebih tepat serta memastikan sokongan kewangan dan pembangunan yang disediakan kekal responsif dan sejajar dengan keadaan semasa sektor PMKS.
Tinjauan Indeks Sentimen PKS separuh kedua 2025 dijalankan antara Julai hingga Oktober 2025 melibatkan 1,971 usahawan dan pemilik perniagaan merentasi 40 sektor serta semua saiz perusahaan, dan kekal sebagai rujukan utama dalam menilai hala tuju ekonomi negara. – UTUSAN










