PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan empat negeri serta Labuan sehingga pukul 1 tengah hari, hari ini.
MetMalaysia menerusi kenyataannya memaklumkan, cuaca buruk itu dijangka melanda beberapa daerah di Pahang iaitu Lipis, Raub, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera manakala di Johor pula melibatkan kawasan Mersing serta Kota Tinggi.
“Amaran sama turut dikeluarkan bagi negeri Sarawak meliputi Kuching, Serian (Serian), Samarahan, Sri Aman (Sri Aman) dan Betong (Pusa dan Betong) serta Sabah melibatkan kawasan Pedalaman (Kuala Penyu),” jelas kenyataan itu.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda berlakunya ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi satu jam.
Jelasnya, amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang berkuat kuasa untuk tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran. – UTUSAN










