KUALA LUMPUR: Penyanyi, Marsha Milan tetap meneruskan komitmen menjayakan persembahan penutup Sukan SEA di Bangkok, Thailand, walaupun sedang menghidap bronkitis.
Marsha atau Marsha Milan Londoh, 40, berkata, keadaan kesihatannya itu bukan perkara baharu memandangkan dia sering mengalami masalah berkaitan tekak dan paru-paru yang lazimnya mengambil masa lama untuk pulih.
“Selain bronkitis, saya juga ada masalah asid refluks yang melambatkan proses penyembuhan. Setiap kali bangun pagi, rasa seperti hendak sendawa dan tekak pula terasa pahit.
“Paling teruk ketika sambutan hari lahir saya minggu lalu. Suami ada mengadakan majlis, tetapi saya batuk hampir setiap 10 minit dan terasa ingin muntah.
“Saya terpaksa meninggalkan majlis walaupun masih ada tetamu untuk mendapatkan rawatan di klinik. Doktor memaklumkan paru-paru saya seperti mengecut seketika dan memberikan rawatan nebulizer,” katanya.
Marsha ditemui Utusan Malaysia ketika sesi latihan persembahan penutup Sukan SEA di Kompleks Angkasapuri Kota Media, di sini, Selasa lalu.
Menurutnya, dia sepatutnya dimasukkan ke wad, namun memilih untuk menjalani rawatan susulan secara berulang di klinik serta mengambil ubat yang diberikan.
Tambah Marsha, pada awalnya dia bimbang masalah kesihatan yang dialami akan menjejaskan persembahan, namun keadaannya kini semakin pulih menjelang hari acara.
“Ketika muntah pada majlis hari lahir itu, memang ada rasa risau kerana tarikh persembahan semakin hampir. Bagaimanapun, sekarang sakit sudah di penghujung fasa dan dalam proses pemulihan.
“Saya juga sudah menjalani pemeriksaan terakhir sebelum berlepas ke Thailand dan keadaannya semakin baik. Selepas pulang dari sana, saya akan balik ke kampung hingga hujung bulan dan tidak berada di Kuala Lumpur,” katanya.
Mengulas lanjut, Marsha berkata lagu Pelangi Pasti yang bakal dipersembahkan tidak memerlukan lontaran vokal yang ekstrem.
“Selepas berehat daripada membuat persembahan selama beberapa minggu, saya kembali bekerja Isnin lalu. Secara keseluruhan, keadaan semakin baik cuma untuk lagu yang mempunyai ‘range’ vokal besar, saya kena kecilkan.
“Bagi persembahan Sukan SEA, saya yakin sakit ini tidak menjejaskan persembahan kerana Pelangi Pasti merupakan lagu yang tenang,” jelasnya.
Pemenang Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) itu dijadualkan berlepas ke Thailand hari ini dan bakal menjayakan persembahan penutup Sukan SEA di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, pada 20 Disember ini.
Turut membuat persembahan mewakili Malaysia ialah penyanyi Amir Jahari dan Mimi Fly, dengan iringan 60 penari. – UTUSAN











