Henti tunggang agama demi ‘hadiah’ media sosial

Henti tunggang agama demi ‘hadiah’ media sosial

ZULKIFLI Hasan ditemui selepas Majlis Perasmian Islamic Social Finance Summit 2025 di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Trend individu berimej agama untuk meraih pendapatan di media sosial perlu ditangani agar tidak mencetuskan kekeliruan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, peningkatan minat umat Islam terhadap pengajian agama merupakan perkembangan positif, namun terdapat kecenderungan segelintir pihak mengambil kesempatan dengan pendekatan yang tidak selari dengan adab dan etika.

“Kita melihat minat rakyat kepada ilmu agama semakin tinggi dan ini sangat baik. Tetapi dalam masa sama, ada trend tertentu yang perlu dinasihatkan kerana tidak semuanya bersesuaian dengan ajaran Islam itu sendiri,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Islamic Social Finance Summit di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, masyarakat kini mempunyai banyak alternatif untuk mendapatkan ilmu agama yang berkualit termasuk melalui program anjuran kerajaan, institusi pendidikan dan pertubuhan masyarakat sivil, sama ada secara percuma atau berbayar.

“Yang berbayar itu tidak salah, tetapi masyarakat perlu bijak menilai kesesuaian harga dengan kualiti ilmu.

“Dalam keadaan tertentu, lebih baik wang itu disalurkan kepada perkara yang lebih diperlukan dan memberi manfaat lebih besar,” katanya.

Beliau berkata, penyebaran ilmu agama tidak boleh digeneralisasikan kerana terdapat situasi tertentu yang memerlukan bayaran, namun perkara utama adalah memastikan ia tidak disalahguna demi kepentingan peribadi.

“Apa yang lebih penting ialah bagaimana ilmu itu memberi kesan kepada pembentukan akhlak dan kesejahteraan masyarakat, bukan sekadar keuntungan,” katanya.

Zulkifli turut menggesa masyarakat lebih berhati-hati dalam memilih sumber rujukan agama di media sosial agar tidak terpengaruh dengan pihak yang menunggang sentimen keagamaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN