PETALING JAYA: Harga emas berpotensi mencecah sekitar RM650 hingga RM700 segram pada awal 2026, didorong oleh momentum pengambilan untung dalam kalangan pelabur, selain sentimen pasaran yang kekal positif terhadap aset selamat itu.
Pada permulaan 2025, harga emas global ialah sekitar AS$2,658.23 (RM10,809.69) seauns dan setakat tahun ini telah meningkat hampir 70 peratus ke rekod tertinggi sejak 1979 apabila diniagakan melebihi paras AS$4,400 (RM17,940.80) seauns, semalam.
Pada pukul 4.30 petang semalam, harga emas spot global telah mencecah AS$4,487.78 (RM18,298.70).
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, harga emas berpotensi meningkat lebih tinggi, namun aktiviti pengambilan untung dijangka mengekalkan paras semasa, selepas mencatat kenaikan 3.44 peratus dalam tempoh lima hari sahaja.
“Ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang semakin perlahan menyebabkan pelabur beralih kepada emas sebagai aset selamat yang melebihi kadar inflasi AS yang terus meningkat.
“Kelemahan dolar AS turut menyumbang kepada pengukuhan ringgit, yang meningkat 20 peratus dalam tempoh seminggu, selari dengan pengukuhan mata wang lain berbanding dolar AS.
“Selain itu, kebimbangan penglibatan AS dengan krisis di Venezuela turut menjadi faktor yang mendorong kenaikan harga emas dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, di peringkat global, emas dijangka mampu mencecah AS$4,500 (RM18,292.50) seauns sehingga akhir 2026, susulan peralihan pelabur daripada bon terbitan AS berikutan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Datuk Seri Meer Habib berkata, harga emas 999 dijangka kekal pada paras tinggi dan berpotensi terus meningkat menjelang akhir tahun ini, susulan lonjakan harga emas global.
“Berdasarkan momentum semasa, sasaran tersebut bukan sesuatu yang mustahil memandangkan harga runcit emas ketika ini berada sekitar RM680 segram.
“Setakat tahun ini harga emas telah melonjak hampir 70 peratus, mencerminkan kekuatan trend kenaikan yang sangat ketara dan luar biasa berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Lonjakan harga ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk ketidaktentuan ekonomi global, konflik geopolitik, peperangan, perdagangan dan krisis kewangan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kadar faedah di AS dijangka akan diturunkan tahun hadapan, sekali gus mendorong lonjakan harga emas.
“Hubungan antara kadar faedah dan harga emas adalah songsang. Justeru, penurunan kadar faedah bakal melonjakkan harga emas.
“Selain itu, permintaan terhadap emas dalam kalangan pelabur, termasuk pelabur institusi dan bank pusat global, turut menyokong kenaikan harga emas.
“Berdasarkan data World Gold Council, permintaan daripada Exchange Traded Fund (ETF) meningkat 134 peratus kepada 221.7 tan emas pada suku ketiga 2025.
“Pertumbuhan permintaan emas daripada bank pusat global pula meningkat 10 peratus kepada 219.9 tan emas pada tempoh sama,” ujarnya.
Beliau berkata, emas dilihat sebagai komoditi berharga, terutama apabila dolar AS dijangka terus merosot.
“Jika kita melihat pegangan asing dalam Sekuriti Perbendaharaan AS, pegangan China yang merupakan ketiga terbesar terus mengurangkan pelaburannya.
“Ini menunjukkan China mengurangkan pendedahan terhadap sekuriti AS, sejajar dengan dasar perdagangan antarabangsa AS yang bersifat antagonistik terhadap China.
“Oleh itu, faktor ekonomi dan geopolitik turut menyumbang kepada kenaikan harga emas,” jelasnya. – UTUSAN










