KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada pilihan raya kecil (PRK) akan datang.
Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bagaimanapun perkara itu akan dibincangkan secara lebih terperinci dalam kepemimpinan parti itu.
Hajiji berkata, gabungan tersebut cenderung untuk memberikan laluan kepada parti yang sebelum ini memenangi kerusi berkenaan sebagai tanda hormat.
“Saya rasa kita akan bincangkan perkara ini dalam GRS. Tetapi saya ingin nyatakan bahawa kemungkinan besar kita tidak akan bertanding.
“Kami akan memberi penghormatan kepada parti yang menang,” katanya ketika ditemui pada hari kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Lamag menerusi Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 yang diadakan baru-baru ini.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan meninggal dunia pada 5 Disember lalu.
Hajiji menjelaskan bahawa GRS sebaliknya akan menumpukan kepada memberi sokongan kepada BN bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya kecil tersebut.
“Itu sahaja yang ingin saya katakan. Kami akan memberi laluan. Kami akan membantu mereka memenangi pilihan raya kecil. UMNO merupakan sebahagian daripada kerajaan Sabah ketika ini,” jelasnya.
Ditanya sama ada pendekatan tersebut terpakai bagi PRK Parlimen Kinabatangan, Hajiji berkata, perbincangan akan diadakan bersama Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Itulah yang kita ingin bincangkan. Tetapi pada prinsipnya, kami akan memberi laluan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 24 Januari depan sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag. – UTUSAN










