ALOR SETAR: Kadar kebolehpasaran graduan Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) mencatatkan pencapaian membanggakan dengan 95 peratus, selain bekas penuntutnya sering mendapat perhatian majikan.
Naib Canselor AIU, Prof. Datuk Dr Mohd. Saleh Jaafar berkata, perkembangan itu sangat membanggakan universiti yang sudah melahirkan lebih 704 graduan dari 60 negara.
“AIU sememangnya memantau kebolehpasaran graduan ini dan kadar ini mengambil kira definisi yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Namun, pencarian pekerjaan itu bukan keutamaan AIU disebabkan kualiti graduan, mereka sering menerima tawaran pekerjaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Keenam AIU di sini hari ini.
Mohd. Saleh berkata, AIU akan terus melahirkan graduan berkualiti dalam kalangan penuntut kurang berkemampuan dari seluruh dunia dengan misi supaya mereka berpeluang berbakti kepada komuniti masing-masing selepas menamatkan pengajian.
Seramai 259 graduan dari 31 negara menerima ijazah masing-masing yang disampaikan Pro Canselor AIU, Sonny Bill Williams yang juga legenda sukan ragbi dunia.
Majlis turut mencatatkan sejarah tersendiri apabila AIU meraikan graduan sulung Program Sarjana Pendidikan (Secara Penyelidikan), Politik dan Hubungan Antarabangsa serta Kewangan.
Sementara itu, Williams berkata, beliau berbangga menjadi sebahagian daripada institusi pengajian yang berjasa kepada generasi muda dari seluruh dunia.
“Ada sesuatu yang istimewa tentang universiti ini apabila anak muda diberi peluang untuk menyerlahkan kemampuan mereka bukan sekadar dalam akademik tetapi kemanusiaan dan sosial supaya mereka kelak dapat berbakti kepada komuniti.
“AIU membentuk peribadi graduan bahawa ilmu yang diperoleh bukan semata-mata untuk mereka atau keluarga tetapi masyarakat,” katanya. – UTUSAN










