JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengukuhkan kedudukan sebagai salah sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) terkemuka negara dengan merekodkan kadar kebolehpasaran graduan 100 peratus tahun lalu.
Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim berkata, pencapaian memberangsangkan itu turut membabitkan bidang kritikal dalam jurusan sains, kejuruteraan dan teknologi.
Beliau berkata, kejayaan tersebut juga sekali gus menolak pandangan segelintir pihak mengenai isu kursus tidak laku atau kursus lelong, ditawarkan universiti berkenaan.
“Jadi, saya nak tekankan di sini, tiada program lelong di UTM seperti yang didakwa di luar sana. Pelajar yang mendapat tempat di UTM ini majoritinya pilihan pertama, kedua dan ketiga.
“Walaupun mereka ni nanti masuk rayuan dan masuk kemudian, itu pun atas pilihan mereka sendiri. Kita tidak akan menawarkan kepada mana-mana pelajar yang tidak memilih UTM. Jadi tak ada program lelong,” katanya selepas merasmikan Minggu Mesra Mahasiswa 2025 di UTM Skudai, di sini hari ini.
Mohd. Shafry berkata, pencapaian kebolehpasaran itu juga membuktikan pengajian yang ditawarkan di UTM memenuhi keperluan industri semasa.
Tambahnya, pandangan daripada pihak industri turut menjadi rujukan penting dalam penambahbaikan program yang dijalankan secara berkala.
“Bagi setiap program yang ditawarkan, kita perlu buat kajian pasaran dan kena lihat keperluan negara.
“Ini keutamaan kita dalam kita menawarkan program-program baru dan juga membuat semakan terhadap program-program yang sedia ada,” ujarnya.
Menurutnya, UTM juga sentiasa komited memperkasa keberkesanan pengajian melalui proses semakan kurikulum yang dilaksanakan secara besar-besaran setiap lima tahun.
“Langkah itu diambil bagi memastikan pengajian yang ditawarkan kekal relevan untuk keperluan masa hadapan,” tambahnya. – UTUSAN










