Gagal kawal emosi antara punca wanita tewas dalam perniagaan – Madammu - Utusan Malaysia

Gagal kawal emosi antara punca wanita tewas dalam perniagaan – Madammu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kegagalan mengawal emosi dikenal pasti sebagai antara kesilapan terbesar wanita dalam dunia perniagaan sehingga memberi kesan langsung terhadap prestasi dan kelangsungan sesebuah perniagaan.

Pengasas jenama kecantikan tempatan Noir, Eriyca Baiduri atau lebih dikenali sebagai Madammu berkata, emosi yang tidak stabil sering menjadi punca kejatuhan jualan selain mendorong kepada pengambilan keputusan yang tidak rasional, khususnya dalam kalangan wanita yang turut memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

“Ramai wanita tewas dengan emosi, sama ada disebabkan masalah rumah tangga atau perasaan sendiri. Pernah berlaku dalam kalangan usahawan saya, ketika sedang membuat jualan, tiba-tiba bergaduh dengan suami dan emosi terganggu, akhirnya jualan terus menurun.

“Emosi ini sangat berbahaya dalam perniagaan. Kita perlu jaga emosi dan menyayangi diri sendiri terlebih dahulu. Saya juga pernah beremosi, tetapi kita perlu belajar mengawalnya, membetulkan minda dan memilih lingkungan yang betul. Jika emosi tidak dijaga, perniagaan tidak akan berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran flagship store pertama Noir di Pavilion Bukit Jalil, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Madammu menegaskan kejayaan dalam perniagaan tidak boleh dibina atas rasa selesa atau syok sendiri, sebaliknya perlu berpaksikan realiti pasaran serta kepercayaan pengguna.

Menurutnya, dalam era digital yang pantas berubah, usahawan juga perlu bersedia menerima perubahan, termasuk memanfaatkan platform media sosial seperti TikTok yang kini menjadi saluran pemasaran utama.

“Saya sendiri mengambil masa untuk memahami ‘game’ TikTok. Namun akhirnya saya sedar, kita perlu faham di mana kedudukan kita hari ini. Pemilik jenama besar juga sanggup tampil menjual produk sendiri di TikTok demi memastikan jenama mereka kekal relevan dan diingati,” katanya.

Selepas lebih sedekad membangunkan jenama secara konsisten menerusi platform dalam talian dan sistem pembangunan usahawan wanita, Noir kini melangkah ke fasa baharu sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjang, termasuk persediaan awal ke arah penyenaraian awam (IPO).

“Ini adalah langkah pertama kami ke arah IPO. Selepas 10 tahun, kami merasakan inilah masa untuk membawa perniagaan ke peringkat seterusnya. Operasi dalam talian dan ejen masih diteruskan, namun kini tiba masanya untuk melakukan sesuatu yang baharu dan berkembang lebih besar,” jelasnya.

Berbeza dengan kempen pemasaran jangka pendek, Madammu melihat pembukaan flagship store sebagai pelaburan jangka sederhana dengan impak yang lebih berpanjangan.

“Konsert atau acara besar mungkin memberi kesan satu malam, tetapi flagship store ini dirancang untuk tempoh dua tahun. Risikonya berbeza, namun impaknya lebih mampan,” katanya.

Flagship Store
Noir menawarkan pengalaman kecantikan menyeluruh termasuk perkhidmatan konsultasi kulit, analisis rutin penjagaan, demonstrasi produk, pelancaran eksklusif serta aktiviti komuniti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN